suria

Pemandu Lori Dihukum Gantung Edar Ganja

KANGAR: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana kesalahan mengedar ganja seberat kira-kira 53 kilogram pada 2004.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Zamani A.Rahim dalam penghakimannya berkata, beliau tidak mempunyai pilihan kecuali menjatuhkan hukuman itu ke atas Mad Rodzi Che Din berikutan pihak pembela gagal menimbulkan keraguan dalam kes itu manakala pihak pendakwa pula berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Mad Rodzi, 49, yang berasal dari Kuala Kedah dituduh melakukan perbuatan itu di Stor Pencegahan Taman Kastam 2, Padang Besar dekat ini pada 8.40 malam, 29 Disember 2004.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang berseluar jeans dan berbaju kemeja T putih kelihatan tenang semasa hukuman itu disampaikan.

Mad Rodzi diwakili Peguam Abdullah Abdul Rahman manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman dan Atirah Che Abu Bakar. - BERNAMA

Artikel Lain