suria

Mayat Lelaki Bersubang Dijumpai Terapung Di Sungai Tajar

ALOR SETAR: Mayat seorang lelaki ganjil ditemui terapung berhampiran Rumah Pam di Sungai Tajar, Jalan Datuk Kumbar di sini pagi ini.

Lelaki yang dipercayai berusia lingkungan 20-an itu bertubuh gempal, berambut perang paras bahu serta memakai subang pada kedua-dua telingnya dan berantai leher emas.

Terdapat juga tiga utas gelang getah pada tangannya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Abdul Ghafar Rajab berkata tiada sebarang identiti ditemui pada mayat yang ditemui kira-kira 8.30 pagi.

Polis juga belum dapat mengenal pasti kewarganegaraan lelaki terbabit.

"Ketika dijumpai, mayat itu berkemeja T leher bulat berwarna biru serta berseluar pendek paras lutut berwarna hitam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Ghafar berkata terdapat kesan luka pada tubuh mayat yang belum dikenal pasti puncanya.

"Ia mungkin juga disebabkan gigitan haiwan. Polis hanya boleh mengesahkannya selepas selesai bedah siasat yang dijalankan Hospital Sultanah Bahiyah.

"Berdasarkan kepada keadaan mayat yang berbau dan mengelupas, polis percaya mayat itu sudah terapung di sungai tersebut kira-kira 24 jam sebelum ditemui," katanya.

Abdul Ghafar meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau saudara mara supaya menghubungi polis melalui talian 04-7321222 bagi membantu siasatan dan membuat pengecaman mayat. - BERNAMA

Artikel Lain