suria

Wakil Bebas Mampu Menyengat, Kata Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR: Hampir dua tahun Datuk Ibrahim Ali bersendirian sebagai wakil Bebas tunggal di Dewan Rakyat, kini beliau bakal disertai tiga anggota Parlimen yang mengisytihar diri sebagai wakil Bebas setelah keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mungkin menjangka keanggotaan "kelab" tersebut bakal bertambah, anggota Parlimen Pasir Mas itu memberi peringatan bahawa walaupun jumlah wakil Bebas masih kecil tetapi mereka mampu "menyengat" dan boleh mempengaruhi keputusan di Dewan Rakyat.

Ketika dihubungi, Ibrahim berkata wakil-wakil Bebas kini berpeluang untuk membuat keputusan berdasarkan pemikiran sendiri tanpa terikat dengan mana-mana parti politik.

"Bila kita tidak terikat dengan parti politik dan tentunya boleh bersuara dengan lebih bebas dan bercakap mengikut isi hati asalkan ia membawa kebaikan kepada rakyat dan negara," katanya kepada Bernama hari ini.

Malah Ibrahim yang bertanding atas tiket PAS pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008 pernah beberapa kali menimbulkan spekulasi berpunca daripada teka-teki undian beliau sebagai wakil Bebas tunggal di Parlimen.

Contohnya ketika anggota Parlimen mengundi untuk memilih Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada April 2008, ramai yang menuding jari kepada Ibrahim apabila beliau disyaki tidak mengundi calon pembangkang, Dr Tan Seng Giaw menyebabkan Dr Tan kalah pada pemilihan itu.

Kemudian pada persidangan Jun 2008, nama Ibrahim sekali lagi naik apabila beliau dikatakan tidak mengundi ketika satu undi belah bahagian diadakan bagi meluluskan sebahagian Rang Undang-Undang Perbekalan (2007) 2008.

Hasilnya BN mengatasi undi pembangkang dengan 92 undi berbanding 60, dengan seorang tidak mengundi sekali lagi semua mata menoleh ke arah Ibrahim.

Bukan setakat itu, malah Ibrahim berkata, anggota Parlimen Bebas boleh memainkan peranan untuk menentukan sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat sekiranya kelak mereka memilih untuk berpihak kepada mana-mana parti.

"Contohnya sekarang, BN (Barisan Nasional) hanya kurang tujuh kerusi (dengan andaian empat wakil Bebas memihak kepada BN) dan kalau berdasarkan ura-ura akan ada 10 lagi anggota Parlimen PKR yang akan meninggalkan parti, kemungkinan B Nakan menguasai semula dengan majoriti dua pertiga di dalam Dewan Rakyat," katanya.

(Majoriti dua pertiga memerlukan penguasaan 148 daripada keseluruhan 222 kerusi Dewan Rakyat)

Beliau diminta mengulas tindakan anggota Parlimen PKR yang mengisytihar diri sebagai wakil Bebas iaitu Datuk Seri Zahrain Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), masing-masing pada Ahad dan Isnin lepas, serta yang terbaru hari ini, Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai).

Komposisi di Dewan Rakyat kini menyaksikan BN menguasai 137 kerusi dan Pakatan pembangkang menguasai 80 kerusi iaitu PKR dengan 28 kerusi (termasuk satu kerusi milik Parti Sosialis di Sungai Siput), DAP (28), PAS (23) dan Parti Maju Sabah (SAPP) (2).

Ibrahim: "Saya pun tidak akan rasa sunyi lagi bila jumlahnya sudah banyak".

Mengulas pandangan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim semalam yang menolak kemungkinan wujudnya 'blok' wakil Bebas di Parlimen, Ibrahim berkata: "Dalam politik segalanya mungkin".

Wakil Rakyat yang terkenal dengan kelantangannya itu turut membidas telahan Khalid yang menyifatkan beliau tidak akan boleh bekerjasama dengan Tan Tee Beng.

"Mana Khalid tahu hati saya? PKR ini dia suka 'jump into conclusion' (buat kesimpulan) tanpa usul periksa... tidak semestinya begitu (tidak boleh bekerjasama dengan Tan). Saya ini manusia yang sering disalah anggap," luahnya.

Mengenai tanggapan bahawa anggota Parlimen Bebas merupakan individu yang 'cepat berpaling tadah', Ibrahim menyifatkan perkara itu sebagai tanggapan semata-mata.

"Bila menyentuh isu mengenai keputusan politik, bukan sahaja wakil Bebas, tetapi juga melibatkan mana-mana ahli politik lain pun kerana semuanya sama, ada kepentingan masing-masing," katanya.

Ibrahim berkata, walaupun sekarang beliau memainkan peranan sebagai wakil Bebas, tetapi sebagai ahli politik, beliau tidak menolak kemungkinan akan menyertai mana-mana parti politik pada masa depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain