suria

UPP Rampas Pakaian Berjenama Tiruan Di Padang Besar

PADANG BESAR: Hasrat seorang lelaki untuk memasarkan pakaian berjenama tiruan di Uptown Melaka tidak kesampaian apabila kesemua pakaian itu dirampas Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) di sini semalam.

Komander UPP Perlis DSP Zakaria Abdul Rahman berkata lelaki tempatan berumur 37 tahun itu ditahan selepas UPP menemui pakaian pelbagai jenama itu dalam keretanya pada pukul 6 petang.

Sebelum itu, beliau berkata sepasukan anggota UPP yang melakukan rondaan di Jalan Kampung Sena telah terserempak dengan sebuah kereta yang mencurigakan lalu menahan untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan, UPP menemui pakaian berjenama tiruan terdiri daripada 77 helai seluar pendek dan 360 helai baju bernilai RM7,424, katanya di sini lewat malam tadi.

Siasatan awal mendapati lelaki itu membeli pakaian berkenaan di Thailand melalui orang tengah dan ia bukan kesalahan pertama yang dilakukan lelaki itu.

Kes itu telah diserah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan(KPDNKK) untuk tindakan lanjut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain