suria

Pelajar Universiti Utara Malaysia Maut Dalam Kemalangan

IPOH: Seorang pelajar institut pengajian tinggi terbunuh apabila kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Km 47.6 Jalan Raya Timur Barat-Jeli dekat Gerik semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik, Supt Mahad Nor Abdullah berkata mangsa yang terbunuh dalam kejadian kira-kira jam 7 malam tadi Rumizi Mohd Rukman, 23, berasal dari Pasir Putih, Kelantan.

Mangsa yang masih menuntut di Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi hari ini.

Mahad berkata kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Rumizi bersendirian dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pasir Putih, Kelantan dikatakan hilang kawalan lalu memasuki laluan kanan jalan dan bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.

Akibat kejadian itu bahagian hadapan kereta mangsa remuk dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di dalam keretanya.

Pemandu lori P.Kanan, 36, yang berasal dari Mambang Diawam, Kampar yang mengalami kecederaan di bahagian tangan dirawat di Hospital Gerik tetapi di pindahkan ke hospital swasta di Ipoh, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain