suria

Model Ekonomi Baru Perlukan Sokongan Semua Pihak - Ismail

PUTRAJAYA: Membentuk model ekonomi baru memerlukan usaha pelbagai pihak memandangkan tiada kerajaan, sekuat mana sekalipun atau yang bersatu teguh, dapat membinanya secara sendiri, kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Ismail Adam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadualkan mengumumkan Model Ekonomi Baru (MEB) itu tidak lama lagi yang akan membentuk teras kepada perancangan ekonomi negara untuk masa depan.

Sebagai agensi pusat yang bertanggungjawab terhadap pengurusan sumber manusia dalam sektor awam, JPA menjalankan usaha yang hebat dalam memastikan kejayaan MEB dengan mengambil mereka yang mempunyai pemikiran dan pengetahuan di paras yang tinggi, kata Ismail.

"Biasanya model ekonomi baru memerlukan orang baru yang hebat. Untuk membolehkan model ekonomi baru berjaya, perlu ada gabungan usaha daripada sektor swasta, masyarakat dan sektor awam iaitu penjawat awam.

"Kita perlu memudahkan pelaksanaan model ekonomi baru dan untuk berbuat demikian, tiada pilihan lain iaitu meningkatkan hubungan kita dari segi pengetahuan, dari segi kemahiran dan kita perlu memberi latihan kepada mereka," kata beliau kepada Bernama dalam satu temu bual di sini.

MEB akan dilancarkan Najib selepas pembentangannya ke kabinet.

Beberapa penganalisis telah menyatakan kebimbangan mengenai sama ada pendekatan MEB akan mencukupi dan sama ada pelaksanaannya akan dilakukan oleh penjawat awam dan pihak berkuasa kerajaan.

Bagi pihak perkhidmatan sektor awam, Ismail berkata kemasukan ke beberapa perkhidmatan kini akan melalui kriteria yang ketat memandangkan "kami mahu memilih yang terbaik."

Sebagai contoh, untuk menyertai perkhidmatan tadbir dan diplomatik, pemohon perlu menjalani peperiksaan, satu proses penilaian selama beberapa hari, dan barulah interbiu, kata beliau.

Kemudiannya terdapat latihan untuk semua perkhidmatan.

Pada masa ini, amalannya ialah setiap penjawat melalui sekurang-kurangnya latihan selama tujuh hari atau bersamaan dengannya tetapi terdapat jabatan yang melaksanakan lebih dari itu, kata Ismail. Mereka mungkin tidak hanya menghadiri kursus tetapi terdapat juga latihan sambil kerja, mentor, pembelajaran dan tugasan supaya kemampuan mereka ditingkatkan ke paras lebih tinggi.

Menyentuh mengenai kekosongan dalam perkhidmatan awam, ketua JPA itu berkata sektor kritikal kekal pada perubatan, farmasi, kejuruteraan dan sains.

Dalam perkhidmatan perubatan, 50 peratus kekosongan adalah dalam pergigian dan farmasi, katanya.

Beliau berkata terdapat juga keperluan bagi penjawat awam memahami lebih daripada satu bidang, di mana pengetahuan lebih daripada satu bidang adalah lebih baik.

Memetik buku "Five Minds for the Future" oleh Howard Gardner, Ismail berkata penjawat awam memerlukan lima "minda" untuk berjaya.

Pertama, mereka perlu mempunyai minda yang berdisiplin, kemudiannya minda yang dapat mensintesis, minda yang mencipta serta minda yang berbudi bahasa dan akhirnya minda beretika.

Mengenai hormat sebagai contoh, beliau berkata menghormati pendapat orang lain adalah penting.

Bagi etika pula, beliau berkata:"Apa sahaja yang dilakukan, perlulah mengekalkan kod etika. Ia amat penting."

Dengan kesan globalisasi yang menjadikan semuanya tanpa sempadan, Ismail berkata beliau memberitahu pegawai lama dan baru supaya "mempermudakan diri mereka".

Ini penting memandangkan mereka perlu berinteraksi dengan ramai orang dan pada masa yang sama dengan pemimpin baru, pemimpin politik atau organisasi, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain