suria

Kastam Terengganu Gagalkan Dua Cubaan Seludup Rokok

KUALA TERENGGANU: Kastam Diraja Malaysia Terengganu berjaya mematahkan dua cubaan menyeludup 2,299 karton rokok belum lulus kastam bernilai hampir RM40,000 dengan nilai cukai dianggarkan RM141,346, sejak empat hari lepas.

Pengarahnya Datuk Azis Yacub berkata dalam serbuan pertama di Jalan Lim Teck Wan, Dungun, Khamis lepas, sepasukan penguatkuasa kastam yang diketuai Pegawai Kastam Tinggi Misdar Kaslan merampas 11,600 karton rokok kretek.

Beliau berkata dalam serbuan kira-kira pukul 7.45 malam itu pihak kastam menahan seorang lelaki berumur 42 tahun yang ketika itu sedang leka memunggah rokok-rokok dari dalam sebuah kereta Proton Iswara ke sebuah kedai runcit di kawasan itu.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta itu, kami menemui 500 karton rokok kretek dan rokok putih yang dianggar bernilai RM8,400 dengan nilai cukai yang terlibat RM29,274," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya ekoran tangkapan itu kastam melakukan pemeriksaan ke kedai runcit berkenaan dan menemui 660 karton rokok daripada jenis yang sama yang dianggar bernilai RM12,024 dengan nilai cukai RM45,386.

Menurutnya ekoran penemuan itu, kastam menahan pemilik kedai runcit berkenaan yang berumur 41 tahun bagi membantu siasatan.

Sementara itu dalam kes terbaru Sabtu lepas, Azis berkata 1,139 karton rokok kretek berjaya dirampas selepas pihaknya menahan seorang lelaki berusia 40 tahun dalam satu serbuan di Bukit Perah, Ajil, Hulu Terengganu.

Beliau berkata lelaki itu ditahan kira-kira pukul 2.45 petang semasa sedang memandu sebuah kereta Proton Waja yang membawa rokok berkenaan yang bernilai RM19,135 dengan jumlah cukai yang terlibat dianggar RM66,686.

Menurutnya kes itu disiasat di bawah seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu terlibat dalam mengangkut barang-barang larangan.

Aziz seterusnya menasihati orang ramai agar tidak terlibat dengan aktiviti penyeludupan kerana ia merupakan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak kurang 10 kali nilai atau duti barang dan tidak lebih 20 kali nilai atau duti barang atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti penyeludupan supaya menyalurkannya kepada pihak Kastam Terengganu dengan menelefon 09-6228477/09-6204242 dan bayaran saguhati akan diberikan kepada pemberi maklumat yang berjaya menghasilkan kes. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain