suria

Jakim Guna Laman Web Perjelas Hukuman Rotan Wanita

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyediakan maklumat berhubung pelaksanaan hukuman sebat terhadap wanita Islam menerusi laman webnya bagi membolehkan masyarakat mendapat penjelasan berhubung perkara itu.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata di peringkat negeri, pihak berkuasa negeri mampu mengendalikan program penjelasan seperti yang telah diarahkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah, katanya, Jakim telah mengadakan seminar berhubung pelaksanaan hukuman itu pada tahun lalu sebelum timbul isu model sambilan, Kartika Sari Dewi, yang disertai pakar undang-undang, ahli akademik, aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Kita tidak dapat elak jika ada segelintir yang masih belum faham. Kita bersedia pada bila-bila masa untuk menjelaskannya," katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat kepada media berhubung sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Muhyiddin yang mahu jabatan agama Islam negeri memberi pendidikan dan pemahaman berhubung hukuman sebat terhadap tiga pesalah wanita Islam baru-baru ini yang mendapat reaksi negatif sesetengah pihak.

Muhyiddin berkata langkah itu penting bagi perkara itu difahami bukan sahaja masyarakat di dalam negara tetapi juga masyarakat antarabangsa agar tidak timbul tanggapan serong tentang apa yang berlaku di negara ini.

Wan Mohamad berkata bahawa pada masa ini, nampaknya masyarakat boleh menerima pelaksanaan hukuman itu dan tidak ada mana-mana pihak yang mempertikaikannya.

Mengenai sambutan Maulidur Rasul yang akan dirasmikan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Masjid Putra di sini Jumaat ini, beliau berkata tujuh penerima anugerah bagi sambutan pada tahun ini terdiri seorang penerima Anugerah Perdana dan enam penerima anugerah yang lain.

Sebanyak 106 kontinjen terdiri 6,979 orang akan menyertai perarakan sempena sambutan tersebut.

Beliau juga berkata Jakim akan menganjurkan Kempen Satu Malaysia Satu Halal selama tiga hari bermula Jumaat ini bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna terhadap pengurusan halal dan produk halal di negara ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain