suria

Lelaki Bebas Tuduhan Bunuh Anak Saudara

PULAU PINANG: Mahkamah Tinggi hari ini melepaskan dan membebaskan seorang pengawal keselamatan daripada tuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie dan percanggahan keterangan lisan saksi pendakwaan tunggal, Norizan Mohammad Zain, yang juga isteri tertuduh ketika memberi keterangan di mahkamah dan keterangan kepada polis.

"Dalam keterangan di mahkamah saksi pendakwaan menyatakan bahawa tertuduh ada menghantukkan kepala si mati ke dinding dan mangkuk tandas tetapi ia tidak dinyatakan dalam keterangan yang diberikan kepada pihak polis," katanya ketika membacakan keputusan itu.

Tertuduh Mohamad Tarmizi Sudin, 34, didakwa membunuh Nor Akmatul Hannah Hasbullah, 5, antara 1 November 2006 dan 7 Januari 2007 di rumah nombor 5C-3-29, Desaria Sri Merpati, Sungai Ara.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.

Tertuduh diwakili Peguambela R. S. N. Rayer dan pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Arik Zakri Abdul Kadir.

Selain itu, Mohd Zaki dalam keputusannya menyatakan bahawa adalah tidak munasabah saksi pendakwaan tidak membuat laporan polis berhubung penderaan yang dilakukan tertuduh terhadap Nor Akmatul Hannah atas alasan malu dengan jiran tetangga.

"Bayangkan betapa terseksa dan menderitanya si mati ketika dia menghadapi kematiannya dengan 41 kesan trauma di badan, muka dan kepala," katanya yang kelihatan sebak. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain