suria

Kastam Rampas 25.8 Kilogram Dadah Di Pintu Sempadan

PADANG BESAR: Sebanyak 25.8 kilogram dadah jenis ketamin yang cuba diseludup ke negara ini dirampas oleh Kastam Diraja Malaysia (KDRM) di pintu sempadan di sini, semalam.

Pengarah Kastam Perlis Mohd Isa Endot berkata dadah yang dianggar bernilai RM464,400 itu ditemui dalam balang pemanas air dan balang keluli dalam kotak sebuah kereta dari Thailand.

Beliau berkata kereta yang dipandu lelaki rakyat Thailand itu ditahan dalam pemeriksaan di pintu sempadan pada kira-kira pukul 3.50 petang.

Lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu mendakwa kedua kotak itu bukan miliknya tetapi kepunyaan rakannya dan pihak Kastam mengarahkan dia berpatah balik untuk mendapatkan "pemilik kotak-kotak itu" dan membawa invois belian untuk tujuan taksiran cukai.

Bagaimanapun setelah menunggu selama 20 minit, pemandu dan "pemilik" kotak-kotak yang mengandungi balang itu tidak muncul menyebabkan anggota kastam membuat imbasan dan mengesan imej yang meragukan di dalamnya, katanya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut mendapati serbuk putih yang dipercayai ketamin disembunyikan dalam kedua balang itu iaitu 20.5 kilogram disembunyikan dalam balang pemanas air dan 5.3 kilogram dalam balang keluli.

Mohd Isa berkata pihaknya sedang mengesan pemandu yang disyaki terbabit dalam kes itu bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain