suria

Pemuda BN Hantar Memorandum Bantah Campur Tangan Australia

KUALA LUMPUR: Pemuda Barisan Nasional (BN) hari ini menuntut Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd menyatakan pendirian negara itu ekoran tindakan 50 Ahli Parlimennya yang meminta tuduhan liwat ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim digugurkan.

Perkara tersebut merupakan antara tiga tuntutan yang terkandung dalam memorandum yang diserahkan oleh Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaludin kepada Pesuruhanjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Penny Williams di sini hari ini.

Antara tuntutan Pemuda BN yang lain ialah, mereka mahu Pengerusi Jawatankuasa Kecil Hal Ehwal Parlimen Australia yang diketuai oleh Michael Danby menarik semula surat yang diserahkan kepada Pesruhjaya Tinggi Malaysia di Australia.

"Sebagai wakil kumpulan itu, Michael perlu mengemukakan permohonan maaf kerana tidak menghormati undang-undang negara ini dengan mendakwa kerajaan Malaysia campurtangan dalam sistem kehakiman di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuaan dengan Penny selama 15 minit.

Turut serta dalam pertemuaan itu, Ketua Pemuda MIC, T. Mohan dan Ketua Penerangan Pemuda BN, Datuk Reezal Merican.

Pada 11 Februari lalu, kira-kira 50 ahli Parlimen Australia menghantar surat rasmi kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia, Datuk Salman bagi mendesak tuduhan liwat ke atas Anwar digugurkan.

Kumpulan berkenaan mendesak kerajaan Malaysia mengugurkan pertuduhan liwat yang dikenakan terhadap Anwar.

Mengulas lanjut Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno berkata, Williams telah menyatakan bahawa kerajaan Australia tidak ingin campur tangan dalam sistem kehakiman negara ini.

"Mereka juga telah menyatakan bahawa Australia tidak mahu buat penilaian terhadap kes perbicaraan yang melibatkan Anwar. Itu pendirian kerajaan Australia.

"Kita harap supaya tuntutan kita disampaikan kepada Canberra. Kita tak nak isu ini dipolitikkan di Australia.

"Ini soal maruah bukan soal BN atau Umno sahaja, ini soal maruah kita sebagai rakyat Malaysia," katanya.

Terdahulu, kira-kira 500 ahli Pemuda BN berarak secara aman di sepanjang Jalan Yap Kwan Seng yang menempatkan Suruhanjaya Tinggi Australia di sini.

Perarakan tersebut turut disertai oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) seawal pukul 10 pagi tadi.

Mereka turut membawa sepanduk yang tertera tulisan seperti, ‘Jangan Campur Tangan Urusan Negara Kami’ dan ‘Jaga Negara Sendiri, Jangan Jaga Tepi Kain Orang Lain’.

Sementara itu, Kelab Penyokong Ahli Parlimen BN (BNBBC) turut menghantar memorandum bantahan kepada pejabat suruhanjaya berkenaan.

Rombongan 17 ahli Parlimen itu diketuai oleh Timbalan Pengerusinya, Datuk Bung Mokhtar Radin menyerahkan memorandum berkenaan pada pukul 11 pagi.

Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan ketika ditemui berkata, pihaknya sedia berjumpa dengan 50 ahli Parlimen Australia berkenaan bagi menyelesaikan krisis tersebut.

"Kita membantah dengan sekeras-kerasnya tindakan ahli Parlimen berkenaan, mereka tidak ada hak untuk mencampuri urusan negara Malaysia kerana negara ini sebuah negara yang berdaulat.

"Kita bersedia menghantar delegasi ahli Parlimen BN untuk menemui mereka sama ada di Australia atau di Antartika untuk menerangkan keadaan sebenar yang berlaku dalam isu perbicaraan Anwar.

"Jadi kita harap kerajaan Australia tidak campur tangan dalam urusan sistem kehakiman di negara ini dan mereka tidak ada hak untuk berbuat demikian,” tegasnya.

Antara Ahli Parlimen BN yang turut serta menyerahkan memorandum berkenaan ialah, Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron; Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Abdul Rahman Bakri.

Dalam pada itu, Makkal Sakhti turut menyerahkan memorandum bantahan yang serupa oleh Presidennya, R.S Thanenthiran bersama 17 penyokong parti itu.

Artikel Sebelum

Zulkifli Cabar PKR Supaya Dipecat?

Artikel Berikut

Artikel Lain