suria

Gagasan 1Malaysia Bukan Mainan Politik

LONDON: Gagasan 1Malaysia bukan sekali-kali mainan politik kerana ia merupakan hasrat murni Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memastikan rakyat Malaysia terus bersatu, mempunyai sistem kenegaraan dan keadilan sosial.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, tidak ada politik dalam gagasan 1Malaysia kerana ia adalah untuk semua rakyat tanpa meminggirkan sesiapa pun.

"1Malaysia adalah gagasan supaya kita terus bersatu dan mempunyai sistem kenegaraan dan keadilan sosial untuk masa depan yang lebih baik yang dikongsi bersama," katanya ketika mengadakan pertemuan dengan para pemimpin pelajar Malaysia di sini, malam semalam.

Beliau berkata, ia juga bukanlah satu perkara baru kerana hakikat perpaduan dan kesepakatan rakyat Malaysia yang berbilang kaum sudah lama wujud sebelum kemerdekaan, malah merupakan sumber kekuatan bagi mencapai kemerdekaan.

Rais, yang menyertai kerajaan pada tahun 1974 sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan berkata, beliau merupakan saksi yang melihat dan menyelami sendiri setiap usaha kerajaan sejak dulu untuk memperkukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum sehingga Malaysia kini muncul sebagai negara yang penuh rahmat dan sejahtera.

Menjelaskan panjang lebar mengenai gagasan 1Malaysia, beliau melahirkan kekhuatiran jika generasi muda sekarang agak payah untuk menghayati gagasan 1Malaysia tanpa pemahaman sejarah negara terutama usaha bersama para pemimpin negara daripada pelbagai kaum.

"Pelbagai parti politik yang wujud di negara kita... itu adalah politik. Tetapi bersatu di bawah 1Malaysia merupakan satu tuntutan yang wajib direalisasikan bersama tanpa mengira aliran politik untuk diwariskan kepada generasi Malaysia masa depan," katanya.

Beliau yang gembira dengan kehadirian pelajar berbilang kaum pada perjumpaan di Malaysia Hall itu berkata, kehadiran mereka yang penuh mesra antara satu sama lain dengan sendirinya membuktikan wujudnya perpaduan yang digagaskan dalam 1Malaysia.

Kini terdapat lebih 13,000 pelajar Malaysia di United Kingdom yang menurut Rais, mampu memberi sumbangan yang besar kepada pengisian gagasan 1Malaysia melalui bukan saja kegigihan mencapai kecemerlangan akademik tetapi juga perpaduan kaum di sini dan setelah pulang ke tanah air.

"Sekiranya anda membawa pulang ilmu pengetahuan dan melahirkan kegemilangan yang kita perlukan, maka anda telah menyumbang kepada 1Malaysia," katanya.

Menjawab beberapa soalan, Rais berkata, sebagai pelajar, mengkritik adalah biasa, boleh dibuat dan dapat diterima dan tidak menjadi persoalan bagi kerajaan, namun kerajaan juga mahu mereka saling mengenali antara satu sama lain, memahami budaya yang pelbagai dan bergaul mesra dalam setiap aktiviti.

Mengenai 'blogging' dan mengkritik melalui laman web sosial seperti 'Facebook' pula, beliau berkata, sesiapa saja boleh menulis blog dan facebook tetapi tentukan jangan sampai hilang tata susila.

"Jika ada antara mereka yang melampaui undang-undang negara, maka hendaklah bertanggungjawab atas tulisannya," katanya, sambil memberi contoh tulisan yang menghasut orang membenci raja atau kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

"Hormati hak orang lain, jangan sakiti orang lain. Berilah sumbangan yang sebenar, kritikan haruslah tidak menyalahi undang-undang. Kita di Malaysia taklah gentar terhadap penulis blog," katanya.

Mengenai konsep kebudayaan Malaysia dalam satu 1Malaysia, Rais berkata, ia memberi ruang kepada semua kaum menerusi budaya, kepercayaan, hak bersuara untuk mengembangkan budayanya.

Katanya, ia menjadi lebih baik jika kaum lain turut memahaminya dan turut merayakan termasuk hari-hari kebesaran seperti Gawai Dayak di Sarawak, Tadau Keamatan di Sabah, malah Thaipusam juga sekarang.

Rais berkata, begitu juga budaya menghormati pandangan orang lain, yang juga perlu diamalkan termasuk dalam berpolitik.

Beliau juga ditanya mengenai adanya Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang hanya membela kepentingan kaum tertentu atau individu yang lantang untuk satu kaum saja selain pandangan serong terhadap gagasan 1Malaysia.

"Mengenai NGO itu, ibarat kata pepatah Melayu 'Dalam segantang beras mesti ada antah' yang diakui mesti ada yang berpandangan lain dan kita kenalah beritahu mereka jika pandangan mereka tidak dapat diterima di bawah 1Malaysia," katanya.

Bagi yang berpandangan negatif dan pesimis pula katanya, mereka hanyalah segelintir dan tidak mudah untuk diubah dalam waktu singkat tetapi yang penting diingat ialah terdapat 28 juta lagi rakyat Malaysia yang optimis terhadap masa depan bersama yang lebih baik dan mendukung gagasan 1Malaysia.

Selepas lawatan kerja tiga hari ke sini, Rais, yang disertai isterinya Datin Seri Masnah Rais akan berlepas ke Barcelona, Sepanyol untuk menghadiri pula persidangan telekomunikasi antarabangsa bermula esok hingga 18 Februari. - BERNAMA

Artikel Lain