suria

Empat Sekeluarga Maut Ketika Pulang Bercuti

KUANTAN: Empat dari enam sekeluarga yang dalam perjalanan pulang bercuti ke kampung sempena Tahun Baru Cina terbunuh selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh sebatang pokok kelapa sawit di Kilometer 84, Jalan Kuala Lipis-Merapoh di sini awal pagi ini.

Kejadian yang berlaku pada pukul 2.15 pagi itu meragut nyawa Zarimah Hussin, 31, dan anaknya, Nur Sabila Sakila Mohamad, 9, adik Zarimah, Alias Hussin, 22, dan sepupu Zarimah, Mohd Shahrul Azwan Abdullah, 15.

Seorang lagi adik Zarimah iaitu Rostam Hussin, 18, patah bahu dan dirawat di Hospital Gua Musang, Kelantan manakala seorang lagi sepupunya yang memandu kereta itu, Mohd Zulkarnaim Mohd Nor, 23, cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama.

Ketua Polis Daerah Lipis, Supritendan Abdul Razak Hassan berkata, Zarimah, Mohd Shahrul Azwan dan Nur Sabila Sakila meninggal dunia di tempat kejadian manakala Alias menghembuskan nafas terakhirnya ketika menerima rawatan di Hospital Gua Musang.

Katanya ketika kejadian, kereta jenis Proton Wira yang dinaiki mereka itu dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Kuala Krai dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebatang pokok kelapa sawit lalu terbabas sejauh 50 meter ke dalam semak.

Abdul Razak berkata, semua mayat kecuali Alias dibawa ke Hospital Lipis untuk dibedah siasat sebelum dituntut waris masing-masing untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pemberian, Kuala Krai, Kelantan hari ini.

Beliau turut meminta saksi kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik daerah, Inspektor Mazrie Ismail di talian 013-3055557. - BERNAMA

Artikel Lain