suria

Treler Terbalik Melintangi Lebuh Raya Sebabkan Kesesakan

SEREMBAN: Laluan di kilometer 252.7, Lebuh Raya Utara Selatan, berhampiran plaza tol Senawang menghala ke Kuala Lumpur tersekat selama hampir sejam selepas sebuah treler tanpa muatan terbalik merintangi lebuh raya itu pagi ini.

Kejadian pada kira-kira pukul 7 pagi itu mengakibatkan beratus-ratus kenderaan menghala ke utara terkandas berjam-jam lamanya, dengan kesesakan lalulintas menjangkau sehingga empat kilometer jauhnya.

Kemalangan itu turut membabitkan tujuh kereta, dengan tiga daripadanya merempuh treler itu kerana tidak sempat mengelak, manakala empat lagi berlanggar sesama sendiri.

Bagaimana pun kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa. Pemandu treler Rosli Wahab, 45, berkata kejadian berlaku semasa dia sedang dalam perjalanan dari Melaka ke Nilai apabila sebuah kereta tiba-tiba memasuki lorong di hadapannya.

"Saya cuba mengelak dan menekan brek kecemasan menyebabkan treler terbabas lalu terbalik melintangi lebuh raya," katanya.

Salah seorang pemandu kereta yang turut terbabit dalam kejadian itu, Zaid Sulaiman, 50, berkata masa itu keadaan masih gelap dan beliau tidak sempat mengelak sebuah teksi yang berhenti di tengah lebuh raya selepas melanggar treler itu.

"Ketika itu saya sedang dalam perjalanan dari Segamat menuju ke Kuala Lumpur bersama dua orang anak perempuan saya.

"Syukur kami selamat, cuma dua anak saya cedera ringan akibat terhantuk dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk rawatan" katanya.

Selain anggota polis trafik, sepasukan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Rembau dan Senawang turut membantu menyelamat mangsa dan mengawal lalulintas.

Laluan itu dibuka semula kira-kira sejam kemudian selepas sebuah kren mengalihkan treler tersebut ke tepi lebuh raya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain