suria

Suri Rumah Warga Indonesia Ditemui Mati

KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah warganegara Indonesia ditemui mati di sebuah rumah sewa di Kampung Selayang Indah, di sini pagi ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, Sulastari, 50, ditemui oleh suaminya, Saibun, 41, dalam keadaan tertiarap, dengan kaki dan tangannya diikat dengan langsir, manakala bahagian leher dililit dengan kain selimut.

Beliau berkata, Saibun yang bekerja sebagai buruh di sebuah pasar borong, menjumpai mayat isterinya itu pada kira-kira pukul 8 pagi selepas pulang dari kerja.

"Saibun menemui mayat isterinya dalam keadaan tertiarap di bilik tidur," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, keadaan bilik tidur rumah itu didapati berselerak, dan polis percaya kejadian itu bermotifkan samun. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain