suria

Pegawai JPJ Selangor Didakwa Salah Guna Kuasa

SHAH ALAM: Seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Stesen Verifikasi Pelabuhan Utara, JPJ Selangor untuk mendaftarkan sebuah kereta mewah atas nama abangnya, tiga tahun lepas.

Mohd Yusoff Ahmad, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Beliau didakwa menggunakan kedudukannya dengan mengarahkan pemeriksa kereta, Mohd Khadri Khalim mengesahkan nombor indeks kereta jenis Mercedes Benz C200 tanpa mengikut prosedur pemeriksaan kenderaan import.

Hasilnya kereta berkenaan didaftarkan di JPJ cawangan Muar, Johor, pada 22 Januari 2008 dengan nombor pendaftaran JKT 615 menggunakan nama abang Mohd Yusoff, Abdul Ghani Ahmad.

Mohd Yusoff didakwa melakukan kesalahan itu di Stesen Verifikasi Pelabuhan Utara, JPJ Selangor, Klang, pada 7 November 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 Akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Asnawi Abu Hanipah dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan agar Mohd Yusoff dibebaskan dengan jaminan RM10,000 serta seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM4,000 dengan alasan dia perlu menanggung isteri dan enam anak yang mana lima daripada mereka masih bersekolah, manakala ibunya sedang sakit.

Mat Ghani kemudian membenarkan Mohd Yusoff dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 15 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain