suria

Jenayah Pulau Pinang Turun 15 Peratus

BUTTERWORTH: Kadar jenayah di Pulau Pinang menurun sebanyak 15 peratus bagi Januari tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, penurunan itu hasil usaha gigih polis dengan kerjasama orang awam bagi membanteras jenayah di negeri ini.

"Setakat ini saya berpuas hati dengan kerjasama orang awam bagi membantu pihak polis membanteras jenayah di Pulau Pinang," katanya kepada pemberita selepas program Kepolisan Berprofil Tinggi di Jalan Raja Uda di sini hari ini.

Beliau berkata, kadar jenayah di Pulau Pinang dapat dikurangkan dari masa ke masa jika semua pihak terus bekerjasama dengan polis.

Ayub berkata, polis menyasarkan penurunan jenayah di Pulau Pinang sebanyak 20 peratus tahun ini.

Beliau berkata, bagi mencapai sasaran itu, polis akan terus menganjurkan program kesedaran jenayah terutamanya di 10 kawasan "hot spot" di negeri ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain