Anggota Polis Ditahan Disyaki Samun Pelajar - Semasa | mStar

Anggota Polis Ditahan Disyaki Samun Pelajar

SUBANG JAYA: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal ditahan kerana disyaki menyamun empat pelajar wanita sebuah universiti swasta di kawasan Bestari Jaya, Batang Berjuntai, lewat malam tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, anggota polis yang berusia 26 tahun itu disyaki menyamun wang tunai dan telefon bimbit pelajar-pelajar berkenaan, bersama dengan seorang lagi rakannya yang berusia lingkungan 20-an.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi, anggota polis dari Balai Polis Shah Alam bersama rakannya itu dipercayai mengekori kereta yang dinaiki empat pelajar berkenaan selepas menahan dan menyamun mereka.

"Keempat-empat pelajar wanita itu kemudiannya membuat laporan polis, dan tindakan pantas polis berjaya membawa kepada penangkapan kedua-dua suspek itu berhampiran dengan tempat kejadian," katanya kepada pemberita selepas melancarkan mesyuarat exco Persatuan Keselamatan Profesional Asia (APSA) 2010 di sini, hari ini.

Khalid berkata, polis berjaya menemui beberapa buah telefon bimbit serta wang tunai yang dianggar bernilai lebih RM100, dan menurutnya polis akan mendapatkan perintah reman bagi menahan kedua-dua suspek hari ini.

Sementara itu, Khalid memuji penduduk sekitar kawasan Jalan Klang Lama dan Kampung Datuk Harun kerana tidak terpedaya dengan tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang meletakkan kepala babi hutan di pekarangan dua masjid di kawasan itu pada 27 Januari lepas.

"Orang yang berbuat demikian mahu masyarakat kawasan berkenaan terpengaruh dan melakukan tindak balas, tetapi masyarakat di kawasan itu tidak mudah terpedaya dengan itu semua," katanya.

Beliau seterusnya meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk tampil bagi membantu siasatan polis.

Pada 27 Januari lepas, dua bungkusan kepala babi hutan bersama satu baldi plastik berisi 30 keping wang RM1 ditemui di pintu masuk belakang ke pekarangan Masjid Jumhuriyah, Taman Datuk Harun, manakala dua bungkus lagi kepala babi serta baldi berisi jumlah wang yang sama dijumpai di hadapan pintu masuk ke perkarangan Masjid Al Imam Al Tirmizi, Taman Sri Sentosa, selepas solat Subuh. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

Artikel Lain

Signal dijangka pesaing utama WhatsApp