suria

GRO Edar Dadah Diberkas

KUANTAN: Seorang pegawai perhubungan pelanggan (GRO) sebuah pusat karaoke di bandar Kuantan ditahan selepas disyaki terbabit dalam pengedaran dadah di Pahang sejak pertengahan tahun lepas.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Robiah Abdul Ghani, suspek, 24, ditahan kira-kira 2.00 pagi semalam dalam satu operasi Ops Tapis Bersepadu.

"Hasil pemeriksaan di bilik sewa suspek di Taman Setali, dekat sini, polis menemui 2.4 gram dadah syabu selain 30 gram heroin dan lima biji pil kuda bernilai kira-kira RM5,000 yang disoroknya di dalam sebuah kotak ubat gigi serta wang hasil jualan dadah berjumlah RM713," kata Robiah kepada pemberita di sini, hari ini.

Suspek dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah di sekitar Kuantan dan Jengka, Maran dan menjalankan kegiatan itu secara bersendiri.

Pada operasi sama, tiga lelaki berjaya ditahan dalam sebuah kereta di kawasan parkir Arked Buah, Jalan Besar dekat sini.

Robiah berkata, hasil pemeriksaan ke atas lelaki berusia antara 30 hingga 49 tahun itu, polis menemui 444.4 gram heroin, dan dua biji pil kuda yang kesemuanya bernilai RM50,000 yang disorokkan di dalam sarung kaki dan poket seluar suspek.

"Polis turut menemui wang tunai berjumlah RM3,763 dan sindiket ini dipercayai bergiat aktif mengedar dadah di Pahang, Terengganu, Johor dan Kelantan," katanya.

Ketiga-tiga lelaki berasal dari Kelantan dan Terengganu itu kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, seramai 336 orang berjaya ditahan dalam Ops berkenaan yang dilancarkan sejak Isnin lepas dan berakhir semalam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain