suria

Dua Beradik Yang Hilang Semasa Memancing Pagi Semalam Ditemui Lemas

SHAH ALAM: Dua beradik yang hilang selepas bot yang dinaiki mereka untuk pergi memancing terbalik dan tenggelam di kawasan perairan kira-kira satu kilometer dari Pulau Ketam, Pelabuhan Klang pagi semalam, ditemui mati hari ini.

Pegawai Pemerintah Polis Marin Pelabuhan Klang DSP Norzaid Muhammad Said berkata mayat Sahidan Ibrahim, 45, dan adiknya Adnan, 33, dijumpai kira-kira pukul 2.20 petang tadi, tidak jauh dari tempat mereka dilaporkan hilang.

Beliau berkata mayat Sahidan dan Adnan dijumpai oleh anggota keluarga terdekat mereka yang menyertai operasi mencari sejak semalam bersama Pasukan Gerakan Marin.

"Kedua-dua mayat sudah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini.

Sahidan dan Adnan dilaporkan hilang selepas bot yang mereka naiki untuk memancing terbalik lalu tenggelam kira-kira satu kilometer dari Pulau Ketam, Pelabuhan Klang, semalam.

Dalam kejadian itu anak Sahidan, Mohd. Amirul, 15 dan sepupunya, Ahzad Shahrizad Abd. Latif, 23, terselamat.

Difahamkan, keempat-empat mereka keluar dari rumah di Kampung Delek dan Jalan Sungai Kapar Indah dekat Klang pada pukul 9.30 pagi untuk menghabiskan cuti hujung minggu bersama dengan memancing. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain