suria

Bot Memancing Terbalik, Dua Beradik Dikhuatiri Lemas

PELABUHAN KLANG: Dua beradik yang menghabiskan masa hujung minggu dengan memancing dikhuatiri lemas apabila bot yang mereka naiki terbalik di kawasan perairan kira-kira satu kilometer dari Pulau Ketam di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, dua beradik berkenaan dikenali sebagai Sahidan Ibrahim, 45, dan adiknya, Adnan Ibrahim, 33, dipercayai keluar memancing dengan anak Sahidan, Mohd Amirul, 15, dan saudara mereka Ahzad Shahrizad Abd Latif, 23.

"Bot yang merekai naiki mungkin terlanggar sesuatu seperti batu atau kayu sehingga menyebabkan bot terbalik dan mangsa yang hilang dipercayai jatuh ke dalam laut apabila gagal berpaut pada bot," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, Mohd Amirul dan Ahzad Sharizad sempat diselamatkan oleh nelayan yang kebetulan melalui kawasan perairan itu dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

Mohamad berkata, gerakan mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang dimulakan dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, sehingga pukul 4.30 petang tadi anggota penyelamat masih belum menemui mangsa yang berasal dari Kampung Delek dan Jalan Sungai Kapar dekat sini.

"Operasi mengesan mangsa akan diteruskan sehingga malam ini dan disambung esok sehingga kedua-duanya ditemui," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain