suria

PM Ucap Selamat Thaipusam

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengucapkan Selamat Menyambut Thaipusam kepada masyarakat Hindu di negara ini dengan harapan perayaan tahunan itu dapat diraikan bersama oleh semua rakyat Malaysia dalam semangat 1Malaysia.

Najib yang menyampaikan ucapan itu dalam blognya www.1Malaysia.com.my berkata bagi yang mempunyai naluri ingin tahu, sambutan perayaan itu merupakan peluang yang menyeronokkan untuk memahami tentang budaya dan kepercayaan agama lain, dan dengan melakukannya turut memahami tentang diri sendiri. "Kepada semua rakyat Malaysia, ini adalah satu lagi kesempatan untuk mempamerkan penghargaan terhadap kekayaan budaya yang telah lama kita nikmati bersama sebagai satu bangsa, dalam semangat 1Malaysia. "Harapan saya kepada semua yang menyaksikan perayaan yang menarik ini agar dapat menikmati warna-warna dan irama dalam satu pembuktian keharmonian dan perpaduan yang hebat. Kepada semua, saya ucapkan Selamat Menyambut Thaipusam!," katanya.

Perdana Menteri malam ini buat pertama kalinya turut bersama-sama beratus ribu rakyat Malaysia keturunan India, rakan-rakan rakyat Malaysia serta pelancong luar meraikan perayaan itu di Batu Caves.

Diraikan pada bulan ke-10 dalam kalendar Hindu, Thaipusam, yang disambut pada Januari atau Februari setiap tahun merupakan hari penebusan dosa dan melahirkan kesyukuran.

Perayaan itu diraikan bagi menghargai Dewa Muruga (juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam) dan masyarakat Hindu percaya bahawa segala dosa dapat disucikan pada sambutan Hari Thaipusam. -BERNAMA

Artikel Lain