suria

Keputusan Buku Kampung Medan Ditangguh Ke 12 Feb

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan keputusan kepada 12 Feb ini bagi permohonan seorang penulis untuk membatalkan keputusan kerajaan mengharamkan bukunya bertajuk 'March 8' mengenai insiden rusuhan di Kampung Medan, Petaling Jaya, hampir sembilan tahun lalu.

Peguam Joanne Leong dan Edward Saw, yang mewakili penulis K. Arumugam, memberitahu media di sini bahawa Hakim Mohamad Ariff Md Yusof memerlukan lebih banyak masa untuk meneliti perkara itu sebelum memberi keputusan.

Joanne juga berkata hakim mengarahkan kedua-dua pihak mengemukakan hujahan tambahan terhadap keputusannya Isnin lalu membatalkan larangan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) ke atas buku 'Muslim Woman dan the Challenge of Islamic Extremism' terbitan sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Sisters in Islam (SIS).

Arumugam, seorang jurutera yang kemudian menjadi peguam, dalam permohonan bagi semakan kehakiman yang difailkan pada 23 Feb, 2007, memohon mahkamah mengisytiharkan keputusan kerajaan melarang penerbitan, penjualan dan pengedaran buku itu pada 21 Nov, 2006, sebagai batal dan tidak sah.

Dalam permohonan itu, Arumugam, 51, menamakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri ketika itu dan kerajaan sebagai respondan.

Kerajaan mengharamkan buku bahasa Tamil setebal 98 muka surat itu kerana dirasakan akan mengancam keselamatan negara. - BERNAMA

Artikel Lain