suria

Muhyiddin Ketuai Delegasi Ke Seameo Di Cebu

CEBU: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Majlis Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara kali ke-45 (Seameo), selama empat hari yang bermula di sini esok.

Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan berkata kehadiran Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran serta delegasi ke persidangan itu menunjukkan kesungguhan dan komitmen negara ke arah pengantarabangsaan pendidikan Malaysia.

"Ia juga akan memperkasakan kedudukan serta visibiliti Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan yang terulung di rantau Asia Tenggara," menurut kenyataan itu.

Muhyiddin dijangka tiba di sini esok bagi menghadiri persidangan itu yang akan diadakan secara berterusan dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran Asean kali kelima (Ased) yang akan memberi tumpuan dan keutamaan kepada kerjasama yang boleh dijalinkan di peringkat rantau Asean dalam bidang pendidikan.

"Malaysia akan menggunakan peluang pada persidangan ini untuk berkongsi pengalaman dengan negara-negara anggota Seameo (Majlis Pertubuhan Menteri-menteri Pelajaran Asia Tenggara) mengenai perkembangan pendidikan di Malaysia," kata kenyataan itu.

Persidangan kali ini yang dihadiri 11 negara anggota juga akan menimbang dua dokumen penting iaitu Memorandum Perjanjian dan "Enabling Instrument" bagi membolehkan Malaysia merealisasikan hasratnya untuk menubuhkan sebuah pusat serantau Seameo mengenai pendidikan khas.

Menurut kementerian itu lagi, satu forum dasar yang bertemakan "Understanding The Vital Pathways For Future Learning" juga akan diadakan di mana Muhyiddin berpeluang untuk bertukar pendapat dengan menteri pelajaran lain.

Di Cebu juga, Sekretariat Seameo yang beribu pejabat di Bangkok akan melaporkan kemajuan pelaksanaan "Seameo Collaborative Project to Reach the Unreached in Southeast Asian Countries and Achieve Education For All (EFA) Goals by 2015" di mana Malaysia terlibat secara langsung dengan beberapa cadangan.

Antara cadangannya ialah menganjurkan "Conference to Promote Awareness of Education for Girls and Women" yang dijadualkan pada 11 hingga 15 Julai tahun ini bagi menyokong pencapaian pendidikan untuk semua.

Ia bertujuan mengenalpasti isu-isu pendidikan kanak-kanak perempuan dan kaum wanita serta berkongsi amalan terbaik berkaitan projek-projek penerimaan gender.

Malaysia juga mencadangkan untuk menganjurkan seminar serantau yang dijangka diadakan pada Oktober depan di Genting Highlands untuk merangka dasar bagi melaksanakan program transisi, pengumpulan data orang kurang upaya (OKU) yang mencapai umur persekolahan, merangka program latihan dan perkongsian amalan terbaik program-program transisi untuk OKU.

Sementara itu, mesyuarat ASED kelima akan meneliti beberapa program, antaranya mengenai laporan kerjasama Rangkaian Universiti Asean dan pembangunan bahan sumber berkenaan Asean untuk rujukan sekolah. - BERNAMA

Artikel Lain