suria

Kanak-Kanak Maut Dirempuh Kereta Tiada Pengenalan Diri

ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak lelaki yang masih belum dikenalpasti identitinya, berusia kira-kira 12 tahun, maut akibat dirempuh sebuah kereta semasa melintas di Jalan Kuala Kedah, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sharifah Rodziah, dekat sini kira-kira pukul 8 pagi tadi.

Ketua Trafik Daerah Kota Setar, DSP Mohd Sham Abdullah berkata, sebuah kereta dari arah Kuala Kedah menuju ke Alor Setar, yang dipandu laju tidak sempat mengelak kanak-kanak yang dipercayai berbangsa Melayu itu, lalu merempuh sebelum menyeret mangsa kira-kira 10 meter.

"Sesiapa yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di talian 04-7321222 atau 012-2891024 untuk memberi maklumat," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata, ibu bapa atau waris kanak-kanak itu diminta tampil dan menuntut segera mayat mangsa di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.

Dalam kejadian berasingan, seorang penyelia lori syarikat pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, Zakaria Idrus, 51, maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas lalu melanggar pokok dan menyebabkan mangsa tercampak ke dalam tali air di Jalan Suka Menanti dekat sini, pagi tadi.

Abang mangsa, Abdul Shukor Idrus, 55, berkata beliau diberitahu mengenai kejadian itu oleh seorang rakan mangsa kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.

"Selepas mendapat tahu tentang kejadian itu, saya terus ke tempat kejadian dan ketika sampai mayat adik saya telah diangkat oleh pihak bomba," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Abdul Syukor berkata, adiknya yang menetap di Taman Aman Anak Bukit di sini, sering melalui jalan itu untuk ke tempat kerja kerana laluan itu merupakan jalan pintas untuk sampai ke pejabatnya.

Mayat Zakaria dibawa ke HSB untuk dibedah siasat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Titi Gajah, dekat sini petang ini.

Sementara itu, Mohd Sham turut mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya masih menyiasat punca kemalangan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain