suria

Jangan Lekas Berpuas Hati, Pesan Ong Pada PKFZ

PELABUHAN KLANG: Meskipun terdapatnya peningkatan yang dicapai dalam operasi di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) tahun lepas, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat hari ini menyarankan mereka yang terlibat tidak seharusnya cepat berpuas hati tetapi terus berusaha ke arah merealisasikan satu pemulihan yang agresif.

PKFZ dimiliki oleh Lembaga Pelabuhan Klang (PKA), agensi kepada kementerian sementara operasinya dikendalikan oleh syarikat milik penuh PKA, Port Klang Free Zone Sdn Bhd (PKFZSB).

"Kita mahu tahun ini menyaksikan langkauan dan penjenamaan yang lebih agresif dalam pada kita melaksanakan inisiatif yang disaran yang dikemukakan oleh jawatankuasa," kata Ong dalam persidangan media selepas melancarkan "Whistle Blowing Programme" untuk PKA dan PKFZSB di sini hari ini.

Susulan daripada cadangan yang dibuat oleh jawatankuasa ad hoc PKA yang diketuai oleh presiden Transparency International Malaysia, Datuk Paul Low, PKA kini mempunyai tiga lembaga pengarah bebas untuk memantau prestasinya, kata beliau.

Mengenai prestasi PKFZ, Ong berkata kendalian kontena meningkat tahun lepas dan ia mengendalikan 43,032 TEU (unit bersamaan 20 kaki) pada 2009, lebih tinggi berbanding 9,112 TEU pada 2008.

Pengendalian kargo di PKFZ mengukuh kepada 1.28 juta tonne tahun lepas daripada 397,11 tonne pada 2008, kata beliau.

Dari segi kadar penghunian, Ong berkata kadar penghunian unit perindustrian ringan menambah kepada 31.6 peratus tahun lepas daripada 16.6 peratus pada 2008.

PKFZ turut mencatatkan lebihan RM5.11 juta selepas mencapai pendapatan RM15 juta dan perbelanjaan RM9.89 juta dalam tahun kewangannya yang berakhir 31 Dis, 2009, katanya.

"Kita mesti akui yang kita perlu bekerja keras dalam bidang-bidang lain seperti penggunaan tanah terbuka di PKFZ yang pada masa ini sebanyak 15.5 peratus.

Begitu juga, kadar penghunian bangunan pejabat telah menambah tetapi masih rendah pada 1.8 peratus dari segi kawasan lantai," kata menteri itu.

Pengurus besar PKFZSB Chia Kon Leong memberitahu pemberita yang prestasi zon pelabuhan bebas itu dijangka lebih baik pada 2010 kerana operasi pengendalian kargo dan kontena telah menunjukkan peningkatan sejak tahun lepas.

Chia berkata PKFZ juga telah mengembangkan operasinya untuk menjadi pusat pengagihan serantau untuk kargo kapas dan logam bukan ferus.

Usaha untuk mencari pelabur baharu bagi PKFZ akan diteruskan dengan PKFZSB bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan agensinya untuk memenuhi objektif ini, kata beliau.

PKFZ terletak di kawasan seluas 405 hektar di Pulau Indah berdekatan Pelabuhan Klang. Ia terdiri daripada 256 hektar ruang terbuka untuk kilang dan rumah gudang, 512 unit perindustrian ringan dan 500,000 kaki persegi ruang pejabat untuk disewa, 135 bilik hotel dan pusat pameran.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain