suria

Polis Tumpaskan Kumpulan Samun Dan Pecah Rumah

JOHOR BAHARU: Polis menumpaskan satu kumpulan samun dan pecah rumah di sekitar bandaraya ini dengan penahanan tiga lelaki di sebuah hotel di Majidee, di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Roslan Zainudin berkata bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan ketiga-tiga lelaki berumur 30 hingga 40 tahun berkenaan di lobi hotel tersebut, kira-kira pukul 8.20 malam.

Hasil pemeriksaan di bilik yang disewa mereka, katanya polis menemui 11 keping kad kredit pelbagai bank, enam kad ATM, sembilan telefon bimbit, tujuh jam tangan, satu set permainan video Play Station dan empat buah komputer riba.

Turut ditemui wang tunai RM1,000, dua keping cek, satu buku akaun bank, satu beg tangan, 18 kad SIM telefon bimbit, dua kamera digital, tujuh plastik lut sinar mengandungi 22.6 gram syabu dan 12 biji pil Eramin 5, satu alat pemain DVD, serangkai kunci dan satu beg mengandungi pelbagai perkakas pecah rumah, katanya.

Polis turut merampas tiga buah kereta, dua daripadanya bernombor pendaftaran negara jiran dan sebuah lagi dilaporkan hilang di bandaraya ini pada 30 Okt lepas, katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, di sini, hari ini.

Katanya siasatan mendapati mereka merupakan penagih dadah dengan seorang daripadanya mempunyai tiga rekod jenayah mencuri kenderaan, pecah rumah dan memiliki pasport palsu. Mereka ditahan reman sehingga esok.

Dalam kes lain, Roslan berkata polis menahan seorang lelaki dan teman wanitanya di sebuah rumah di Taman Cahaya, Kota Puteri, di sini, Rabu lepas, yang dipercayai terlibat dalam beberapa kes mencuri motosikal di sekitar bandaraya ini.

"Pemeriksaan di rumah itu pada serbuan kira-kira pukul 12.45 malam berkenaan, menemui lima buah motosikal dengan dua daripadanya dilaporkan hilang di Masai dan Seri Alam, sebuah kereta jenis Porton Wira dan beberapa kunci Allen Key yang telah diubahsuai," katanya.

Beliau berkata siasatan mendapati lelaki berkenaan merupakan penagih dadah yang mempunyai satu rekod jenayah mencuri.

Pasangan kekasih berumur lingkungan pertengahan 20-an itu kini direman untuk siasatan, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain