suria

Lelaki Buat Laporan Palsu Untuk Elak Kahwin Awal

JOHOR BAHARU: Gara-gara tidak cukup wang untuk melangsungkan perkahwinan lebih awal, seorang lelaki berusia 27 tahun berdepan dengan tindakan undang-undang apabila membuat laporan palsu mengatakan dia dirompak.

Bagaimanapun tindakan juruteknik kilang dari Taman Senai Utama itu gagal 'memperbodohkan' polis yang mendapati sebahagian maklumat yang diberi tidak sama, kata Ketua Polis Daerah Kulai Jaya Supt Zulkefly Yahya.

"Bila kami menyoal lanjut dia akhirnya mengaku membuat laporan palsu untuk mengelak daripada berkahwin pada bulan depan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas kejadian pada Ahad lepas itu, Zulkefly berkata, lelaki tersebut membuat laporan mendakwa dia dirompak dua lelaki bersenjatakan pisau selepas mengeluarkan duit RM6,000 di sebuah mesin ATM, di Kulai Jaya pada hari berkenaan.

Lelaki itu mendakwa dia mengeluarkan duit berkenaan pada pukul 6.50 petang dan sedang menuju ke arah keretanya apabila didatangi dua lelaki yang mengacukan sebilah pisau sebelum melarikan diri dengan wang tersebut bersama resit pengeluaran dan juga kad ATMnya.

Siasatan polis membawa kepada penemuan 'duit yang dirompak' itu di rumah lelaki tersebut, katanya.

Menurut Zulkefly lelaki itu sepatutnya berkahwin pada Julai ini tetapi bakal bapa mertuanya mendesak agar perkahwinan diadakan pada awal bulan depan.

"Dia tidak mempunyai wang yang cukup untuk meneruskan perkahwinan itu lalu membuat laporan polis agar perkara tersebut tidak terdedah," kata beliau.

Zulkefly berkata lelaki itu ditahan mengikut seksyen 177 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain