suria

Remaja Perempuan Disamun Tiga Lelaki Bersenjatakan Pisau

KUANTAN: Seorang remaja perempuan yang sedang menunggu keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia disamun oleh tiga lelaki bersenjatakan pisau yang memasuki rumahnya di Kampung Kelat Rendang dekat Pekan, semalam.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman ketika dihubungi berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 9 pagi semasa Farah Elyani Mohamed, 19, tinggal bersendirian di rumah selepas ibu dan ayahnya keluar bekerja manakala adik-adiknya berada di asrama.

Beliau berkata Farah Elyani tidak sedar dengan kehadiran tiga penyamun itu yang masuk ke dalam rumahnya melalui tingkap bilik di bahagian hadapan rumah yang diumpil.

"Kerugian yang dialami keluarga itu dianggarkan RM10,000 yang membabitkan kehilangan barang kemas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut hari ini dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan Samun Berkumpulan Bersenjata.

Sementara itu Farah Elyani berkata salah seorang daripada suspek secara tiba-tiba masuk ke dalam rumah sebelum mengacu sebilah pisau dan mengugut supaya tidak melawan.

"Selepas lima minit berkurung di dalam bilik, dua lagi penyamun yang bertopi kemudian masuk ke dalam bilik dan menekup muka dengan bantal dan bertanya jika saya ada barang kemas sebelum merampasnya," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Usaha Bersihkan Sungai Klang

Artikel Lain