suria

Polis Marin Tahan 26 Pelarian Myanmar

PELABUHAN KLANG: Polis Marin Selangor menahan 26 pelarian Myanmar yang dipercayai cuba mendapatkan suaka politik di negara ini dalam satu operasi di Bagan Hailam, dekat Pulau Ketam, di sini semalam.

Pegawai Pemerintah Polis Marin Pelabuhan Klang, DSP Norzaid Muhammad Said berkata kesemua pelarian itu ditemui kira-kira pukul 6.30 petang semalam dalam sebuah feri penumpang yang dalam perjalanan dari Sungai Lima, Pulau Ketam ke Pelabuhan Klang.

Katanya daripada jumlah itu, 21 orang adalah pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) manakala bakinya tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

"Kad UNHCR yang dimiliki oleh pendatang asing ini dikeluarkan oleh negara jiran dan bukannya Malaysia. Oleh itu, mengikut lunas undang-undang, mereka tidak sepatutnya mendapatkan suaka politik di negara ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat bahawa kesemua pelarian Myanmar itu telah ditahan di negara jiran sebelum dibawa lari ke negara ini oleh sindiket dengan menggunakan bot pom-pom.

Norzaid berkata siasatan awal juga mendapati kesemua warga Myanmar itu, berumur antara 17 dan 56 tahun itu, berada selama dua hari di Pulau Ketam.

"Ini juga kes pertama membabitkan warga Myanmar melarikan diri ke bahagian selatan negara kerana biasanya mereka suka melarikan diri ke bahagian utara negara seperti Pulau Pinang dan Langkawi," katanya.

Katanya kesemua warga Myanmar itu kini ditahan di Balai Polis Pelabuhan Klang sebelum dikenakan tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1963. BERNAMA

Artikel Sebelum

Usaha Bersihkan Sungai Klang

Artikel Lain