suria

KPDNKK Tarik Lesen Tujuh Pemborong Gula

KUALA KANGSAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) setakat ini sudah mengambil tindakan terhadap tujuh pemborong di seluruh negara yang didapati menyorok bekalan gula daripada dihantar kepada peruncit, dengan menarik lesen mereka serta-merta.

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Tan Lian Hoe berkata, tindakan berkenaan diambil sejak bermulanya krisis gula September lepas.

"Setakat ini memang ada rayuan dibuat oleh pemborong berkenaan kepada kementerian dan memang kita tidak akan perbaharui lesen mereka sebab kita telah pun memberi peringatan tetapi mereka masih enggan mematuhi peringatan ini.

"Maka kita ingin sekali lagi maklumkan kalau tidak ada kerjasama daripada pemborong, lesen mereka akan ditarik dan tidak ada lagi pembaharuan lesen untuk mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat premis beberapa pemborong dan peruncit gula di sini hari ini.

Beliau juga berkata, setakat ini kerajaan tidak berhasrat untuk menaikkan lagi harga gula dan memohon kerjasama peniaga untuk tidak menyorok bekalan keperluan berkenaan.

Mulai 1 Januari lepas, harga runcit gula dinaikkan sebanyak 20 sen sekilogram kepada RM1.65 di Semenanjung dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak berikutan kenaikan harga gula mentah dunia.

Tan berkata, orang ramai juga perlu memberi kerjasama dengan memaklumkan pihak kementerian jika ada pemborong atau peruncit yang enggan menjual gula pada harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan supaya tindakan sewajarnya boleh diambil terhadap peniaga sedemikian.

"Boleh hubungi kita melalui talian bebas tol 1 800 886 800 ataupun hubungi pejabat KPDNKK negeri ataupun pejabat cawangan yang terdekat. Kalau adanya kerjasama dan maklum balas daripada pengguna, pastinya kita dapat mengurangkan masalah ini dalam pasaran," katanya.

Beliau berkata, penstrukturan semula rangkaian pengedaran gula di negeri-negeri merupakan jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah pembekalan komoditi itu kepada para pengedar yang berlaku sekarang.

"Pihak KPDNKK telahpun membuat kajian dan kita akan menstruktrur semula rantaian pengedaran ini di seluruh negara supaya bekalan gula ini senang didapati dan diedarkan oleh pengedar tempatan sahaja.

"Kita akan umumkan seberapa segera (penstrukturan semula rangkaian pengenadaran gula), mungkin pada Mac atau April," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain