suria

Sudut Pidato Diwujudkan Semula

BANGI: Sudut pidato akan di institut pengajian tinggi awam akan diwujudkan kembali dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merupakan universiti pertama yang akan memperkenalkannya semula.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setiap universiti mempunyai hak mewujudkan sudut pidato dan kementeriannya tidak mempunyai apa-apa bantahan berhubung perkara itu.

Beliau berkata, institut pegajian tinggi swasta juga boleh mewujudkan sudut pidato itu jika mereka mahu berbuat demikian.

“Sudut pidato yang diwujudkan semula adalah inisiatif UKM dan saya memuji universiti ini kerana mempunyai keberanian berbuat demikian,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sudut pidato universiti tersebut di sini hari ini.

Sudut pidato UKM terletak di perpustakaan Tun Sri Lanang di kampus induk Bangi.

“Universiti lain pernah menyatakan bahawa mereka menunggu permohonan daripada para pelajar untuk mewujudkan sudut pidato namun UKM mengorak langkah awal dengan meneruskan usaha itu tanpa mengambil masa yang lama,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak akan mengenakan sebarang garis panduan bagi sudut pidato itu dan ia terpulang kepada pihak unviersiti masing-masing untuk menentukannya.

Katanya, para pelajar diberi kebebasan untuk berucap dalam apa jua topik asalkan mereka mengambil perhatian terhadap isu-isu sensitif dan ucapan tersebut mestilah berasaskan kebenaran.

“Kami percaya apabila diberi peluang untuk bercakap dan menyuarakan pendapat ia akan dapat melahirkan pelajar-pelajar universiti yang matang, bertanggungjawab dan tahap keyakinan yang tinggi di kalangan mereka,” ujarnya.

Ditanya sama ada pelajar universiti sudah bersedia untuk berucap di sudut pidato yang diwujudkan itu, Mohamed Khlaed berkata: “Saya menaruh kepercayaan yang tinggi terhadap mereka.”

“Jika mereka tidak bersedia, pihak kementerian tidak akan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) tahun lepas,” katanya.

Pada bulan November tahun lepas, Mohamed Khlaed telah memberi lampu hijau untuk mewujudkan semula sudut pidato di semua universiti dalam ucapan perasmian pertandingan Piala Menteri Pengajian Tinggi.

Sudut pidato telah diwujudkan di universiti Malaya pada tahun 1970-an.

Bagaimanapun ia telah diharamkan apabila AUKU diperkenalkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled berkata beliau akan meminta kerajaan memberi peruntukan sebanyak RM20 juta bagi membolehkan pihak universiti menjalankan projek keusahawanan yang pernah dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan dan Koperasi dan kini dikelolakan oleh KPT.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain