suria

MPPUM Mahu E-Voting Dikaji Semula

KUALA LUMPUR: Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) hari ini menggesa pihak pentadbiran universiti berkenaan mengkaji semula pelaksanaan sistem e-voting dalam pilihan raya kampus Januari ini bagi mengelak manipulasi oleh pihak tertentu.

Menurut anggota Exco MPMUM, Mohd Aizad Mohd, MPMUM tidak bercadang untuk mendesak sistem e-voting itu dihapuskan tetapi mahu ia dipantau kerana dibimbangi akan dimanipulasi pihak tertentu. "Isunya di sini bukan e-voting tetapi campur tangan dari pihak-pihak tertentu untuk memenangkan calon pilihan mereka menggunakan sistem ini. Dalam memo kita telah menyarankan supaya sistem ini dilakukan pengubahsuaian," katanya selepas menyerahkan memorandum mengenai perkara itu kepada Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Dr Ghauth Jasmon di pejabatnya di sini.

Mohd Aizad turut menggesa pihak universiti membentuk satu badan bebas bagi mengawal perjalanan pilihan raya berkenaan. Dalam pertemuan selama sejam dengan Naib Canselor itu, para Exco MPMUM turut membincangkan perkara-perkara berkaitan pilihan raya kampus menggunakan sistem e-voting dan isu-isu berkaitan dengan demokrasi pilihan raya kampus pada masa depan. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain