suria

BN Tekan Dua Prinsip Utama Untuk Kekal Relevan Kepada Rakyat

KUCHING: Barisan Nasional (BN) sebagai tunjang utama kepada kerajaan yang memerintah negara ini perlu berpegang kepada dua prinsip iaitu sentiasa berpandangan jauh ke hadapan dan mengutamakan kehendak serta keperluan rakyat melalui sistem penyampaian yang lebih berkesan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata untuk menjadi kerajaan yang lebih baik, BN tidak seharusnya menoleh ke belakang sebaliknya perlu melihat apa yang harus BN buat untuk rakyat hari ini dan pada masa hadapan.

"Tidak dinafikan BN banyak sumbangan kepada rakyat sebelum ini, tapi dengan meningkatnya tahap pendidikan rakyat melalui pembangunan prasarana pendidikan yang dibangunkan oleh BN, rakyat mahu melihat apa yang akan kita (BN) buat hari ini dan masa akan datang," katanya pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tritahunan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) di Dewan Suarah Kuching di sini hari ini.

Beliau berkata perubahan dalam senario politik negara turut mengubah cara rakyat negara ini berfikir sekaligus mendorong BN untuk menjadi sebuah parti yang lebih dinamik sejajar dengan kehendak semasa rakyat.

Katanya rakyat hari ini akan menjadi penentu hala tuju BN pada masa hadapan dan bukannya kepada pencapaian yang telah diperolehi pada masa lampau.

Prinsip kedua, kata Najib adalah memastikan sistem penyampaian kerajaan BN betul-betul berkesan dan sampai kepada kehendak dan keperluan rakyat di semua peringkat.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata kerajaan BN dianggap sebagai kalah dalam pilihan raya walaupun pada dasarnya mereka menang jika anggotanya gagal melaksanakan apa yang telah diamanahkan oleh rakyat.

"Pembangkang tidak akan menang, tapi kita (BN) kalah pilihan raya jika gagal melaksanakan tugas dan amanah yang telah diberikan oleh rakyat kepada," katanya.

Katanya 1Malaysia bukannya slogan tapi ia merupakan satu asas kepada dasar yang lebih adil serta penekanan kepada sistem nilai yang lebih baik dalam setiap sistem penyampaian kerajaan BN.

Najib berkata rakyat akan menjadi penilai terakhir kepada apa yang BN buat di bawah amalan "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan".

Dalam dalam itu, Najib mahu menjadikan tahun 2010 sebagai tahun pencapaian yang lebih baik kepada BN dengan harapan semua anggota BN peringkat pusat dan negeri bersama-sama turun padang membantu rakyat.

Katanya masalah utama iaitu pelaksanaan kepada segala dasar dan perancangan kerajaan perlu diambil perhatian oleh semua anggota BN agar ia sampai kepada rakyat.

"Saya meletakkan azam tahun 2010 sebagai tahun prestasi yang lebih baik BN," katanya.

Najib berkata BN sebagai tunjang utama kepada kerajaan yang memerintah hari ini juga akan memastikan segala peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan pusat kepada kerajaan negeri dapat digunakan sepenuhnya selain berharap pihak kerajaan negeri memberi kerjasama menyelesaikan segala masalah pembangunan di peringkat negeri masing-masing.

Beliau turut menegaskan parti komponen BN tidak kira kecil mahupun besar termasuk SPDP yang menunjukkan prestasi cemerlang pada pilihan raya umum dan negeri yang lalu akan sentiasa diberi perhatian berat selain harapan agar prestasi tersebut dikekalkan pada masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud menyelar tindakan golongan tertentu yang bertindak untuk menghasut rakyat agar membenci kerajaan.

"Kita berpolitik untuk menentukan perjuangan kita dan tidak mengetepikan soal pokok untuk menolong rakyat. Sejak akhir-akhir ini, muncul golongan tertentu yang lapar dan dahaga untuk mendapat kuasa memekik sana sini menghasut rakyat.

"Kalau mereka mahu berjuang untuk rakyat dan negeri belajarlah bersungguh-sungguh bagaimana hendak berkhidmat kepada rakyat dan negara sebelum menjalankan perjuangan politik," katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu.

Taib yang juga Pengerusi BN negeri berkata ahli politik pembangkang membuat janji-janji kosong dan mendakwa mereka boleh melakukan keajaiban bagi menggembirakan rakyat dan pengundi.

Sebagai contoh, mereka mendakwa boleh melindungi pelbagai perkara, mendapatkan lebih banyak wang daripada pembangunan tanah adat dan sebagainya, katanya.

"Masa depan rakyat, dengan kesedaran bahawa lebih baik mereka menyokong BN berbanding ahli politik pembangkang yang banyak bercakap. Mereka tidak dapat buktikan kemampuan mereka untuk membantu rakyat," kata Taib.

Sementara itu, Presiden SPDP Datuk Seri William Mawan Ikom menyeru semua komponen parti BN bekerjasama dari peringkat atas hingga ke akar umbi untuk menghadapi sebarang cabaran dan kritikan yang boleh menggugat keutuhan BN dan menukar corak politik negeri Sarawak.

"Tidak ada satu parti komponen boleh menganggap bahawa dia adalah lebih penting atau berkuasa daripada yang lain. Dalam keadaan susah atau senang, kita mesti bersatu dalam BN," katanya.

Untuk menghadapi pilihan raya negeri akan datang, Mawan menyeru pemimpin SPDP di peringkat bahagian dan cawangan untuk menangani isu seperti pembangunan tanah, kaum Penan dan alam sekitar yang dimainkan pembangkang untuk memesongkan rakyat, khususnya di luar bandar.

"Saya berharap pemimpin SPDP di peringkat bahagian dan cawangan untuk mengambil tindakan proaktif dengan memberi penerangan lengkap kepada penduduk di luar bandar melalui sesi dialog dan perjuangan sosial di peringkat akar umbi untuk memastikan penyokong dan penduduk di luar bandar tidak terpengaruh dengan kempen pembangkang," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain