suria

Empat Nelayan Ditahan Di Pontianak Selamat Pulang

KUALA TERENGGANU: Empat orang nelayan Terengganu yang ditahan pihak berkuasa perikanan Indonesia bulan lalu setelah dipercayai termasuk kawasan perairan negara itu, selamat pulang ke tanah air malam tadi.

Musa Mahammad, 33, Mohd Arif Rosli, 20, Ahmad Faizul Sulong, 33, dan Akhmadi Daud, 28, kesemuanya dari Kampung Baru, Sebarang Takir tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini kira-kira 9 malam.

Bagaimanapun, tekong bot nelayan berkenaan Che Wan Budiman Che Wan Ngah, 31, masih ditahan di pusat tahanan di Pontianak.

Mengiringi kepulangan nelayan berkenaan ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abd Rahman.

Kepulangan mereka disambut dengan rasa syukur dan gembira oleh kaum keluarga masing-masing.

Razif berkata pihaknya mengucapkan setinggi terima kepada mereka yang terbabit dalam pembebasan nelayan-nelayan itu, terutamanya Konsul Besar Malaysia dan Gabenor Pontianak.

"Pada pertengahan bulan Januari tahun depan nanti, saya akan sekali lagi ke Pontianak untuk membincang bagi membawa pulang Che Wan Budiman," katanya.

Sementara itu, Musa berkata kejadian itu telah menyebabkan beliau serik dan akan beringat setiap kali turun ke laut untuk mengelakkan daripada ditahan lagi.

"Saya sudah serik dan tidak mahu lagi pergi ke sana (masuk tahanan di Pontianak," katanya.

Bagaimanapun, katanya sepanjang sebulan setengah ditahan di pusat tahanan di Pontianak, mereka telah diberi layanan baik oleh pihak berkuasa perikanan Indonesia.

Selain mereka, katanya terdapat juga nelayan dari negara lain seperti Thailand, Vietnam dan China, dan mereka semuanya turut diberikan layan yang baik.

Menceritakan detik-detik cemas sebelum ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia, Ahmad Faizul pula berkata sebaik terdengar bunyi tembakan bertalu-talu, dia telah menyembunyikan diri dalam kotak enjin.

"Ketika itu saya merasakan peluang untuk saya hidup amat tipis, hanya mampu berserah dan bertawakal kepada tuhan. Saya hanya mengikut sahaja arahan yang diberikan oleh mereka (pihak berkuasa Indonesia)," katanya.

Bot nelayan mereka ditahan oleh pihak berkuasa perikanan Indonesia pukul 9 pagi, 12 Nov, kira-kira 150 batu nautika dari Kuala Terengganu berhampiran kawasan Pelantar Minyak Berlumut iaitu kira-kira tiga kilometer sahaja dari sempadan Malaysia-Indonesia. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain