suria

Umno Laksana Program Pemutihan Kesan Ahli Belum Berdaftar Sebagai Pemilih

SANDAKAN: Umno akan melaksanakan satu program pemutihan terhadap 3.4 juta anggotanya di seluruh negara bagi mengenal pasti mereka yang belum berdaftar sebagai pemilih.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal berkata, pada masa sekarang, rekod yang ada menunjukkan terdapat 661,231 anggota Umno belum berdaftar sebagai pemilih dengan Sabah paling ramai yang belum berbuat demikian iaitu 129,925 anggota.

Menurutnya, program pemutihan yang akan dilaksanakan itu bagi mengenal pasti status anggota Umno itu sama ada dia masih hidup, aktif atau berpindah parti.

"Saya sudah membentangkan pelaksanaan program itu di peringkat Majlis Tertinggi dalam usaha meningkatkan jumlah ahli Umno yang berdaftar sebagai pemilih.

"Proses pemutihan ini merupakan antara pendekatan yang penting dilakukan sebagai rangka penyusunan menghadapi pilihan raya akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan Belia Benci Dadah dan Program Penambahan Anggota Umno Batu Sapi di sini hari ini.

Mohd Shafie yang juga Pengerusi Biro Keahlian dan Penambahan Anggota Umno berkata, proses pemutihan itu kini sedang giat dilakukan dan senarai lengkap mengenai semua anggota Umno yang belum berdaftar sebagai pemilih sudah dihantar ke semua bahagian.

Katanya, satu jawatankuasa khas telah dibentuk untuk melaksanakan program pemutihan itu dan mengenal pasti kaedah penyertaan dalam program keramaian seperti karnival untuk melakukan program tersebut.

"Program pemutihan ini akan mengambil masa hingga empat bulan dari sekarang dan selepas itu saya akan mendapatkan maklum balas dari semua bahagian untuk mengenal pasti jumlah sebenar ahli Umno yang belum berdaftar sebagai pemilih," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Shafie meminta semua bahagian Umno di seluruh negara mempergiatkan pelaksanaan program pemutihan itu dan memastikan ia mencapai matlamatnya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain