suria

Tingkat Prestasi Polis Antara NKPI Dalam GTP

PETALING JAYA: Polis dicadangkan supaya menerima laporan yang dibuat di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) atau balai berdekatan tanpa mengira kes jenayah itu dalam usaha meningkatkan kepuasan awam.

Ketua Makmal Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mengurangkan jenayah,Abdul Aziz Md Noor berkata, peningkatan kepuasan awam terhadap prestasi polis adalah antara lima Petunjuk Prestasi Utama Negara (NKPI) dalam usaha untuk mengurangkan kadar jenayah menjelang akhir tahun depan.

Antara inisiatif yang dicadangkan untuk meningkatan kepuasan awam ialah menambah jumlah pegawai dan anggota polis di Jabatan Siasatan Jenayah seluruh negara.

"Dengan adanya penambahan tenaga pakar ini, kes-kes jenayah dapat diselesaikan dengan segera," katanya ketika membentangkan hasil makmal berhubung langkah-langkah mengurangkan jenayah pada Hari Terbuka Program Transformasi Kerajaan (GTP) di Pusat Konvensyen Sunway di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, empat lagi NKPI bagi mengurangkan jenayah ialah pengurangan lima peratus indeks jenayah, pengurangan 20 peratus jenayah jalanan, pengurangan peratusan orang yang takut menjadi mangsa jenayah serta menambah 1,000 pesalah jenayah kekerasan untuk dihadapkan ke mahkamah.

Katanya, NKPI itu mengandungi 55 inisiatif yang telah dicadangkan oleh ahli-ahli makmal yang dilantik daripada 19 agensi termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Jabatan Peguam Negara dalam mengekang gejala jenayah.

Mengenai cadangan laporan polis dapat dibuat di mana-mana IPD atau balai berdekatan Abdul Aziz berkata, kini orang ramai perlu ke balai tertentu untuk membuat laporan.

"Contohnya jika melibatkan kesalahan trafik kena pergi ke balai polis trafik dan cara ini menyukarkan orang ramai. Di sini kami mengutarakan agar semua laporan polis boleh dibuat di mana-mana balai polis tanpa merujuk sama ada kes itu kes jenayah atau sebaliknya," katanya

Beliau berkata, pihaknya juga mencadangkan supaya setiap anggota Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) digunakan sebagai anggota polis tambahan dalam membantu Polis Diraja Malaysia.

"Antara inisiatif lain adalah dengan menggunakan khidmat Suksis bagi membantu PDRM sebagai dalam menjalankan tugas-tugas pentadbiran supaya anggota polis yang sedia ada dapat turun padang bagi melaksanakan operasi cegah jenayah," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain