suria

Kerajaan Sasar 600,000 Pengguna Pengangkutan Awam Lembah Klang Menjelang Akhir 2012

KUALA LUMPUR: Kerajaan mensasarkan sehingga 600,000 orang akan menggunakan perkhimatan pengangkutan awam di Lembah Klang menjelang akhir 2012 di bawah inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, kini terdapat kira-kira 240,000 pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang yang dianggarkan mewakili antara 10 hingga 12 peratus daripada jumlah populasi di Lembah Klang.

NKRA dilancarkan pada Julai tahun ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Kerajaan ke arah mencapai Wawasan 2020 dan meningkatkan sistem penyampaian kerajaan kepada rakyat.

"Bagi bidang pengangkutan di bawah NKRA, kita mensasarkan untuk meningkat jumlah pengguna sehingga 25 peratus daripada jumlah penduduk di Lembah Klang atau 600,000 jumlah pengguna, iaitu meningkat sebanyak 2.5 peratus daripada tahap sekarang. Ia merupakan sasaran yang tinggi tetapi kita akan bekerja keras untuk mencapai sasran kita," kata Ong kepada Bernama.

Beliau menjelaskan, kementeriannya sedang bersungguh-sungguh untuk menangani beberapa masalah berhubung pengangkutan awam di Lembah Klang berdasarkan lima strategi utama.

Ini termasuk meningkatkan kapasiti pengangkutan awam, merangsang permintaan menerusi "pendekatan tarikan" dan mengurangkan kesesakan kenderaan berat di kawasan pusat pernigaan (CBD), menstruktur semula peraturan untuk kelangsungan yang berpanjangan dan mengadakan pengurusan permintaan masa depan melalui "pendekatan tolakan".

Ong juga berkata, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat juga akan diwujudkan dan beroperasi menjelang akhir tahun depan sebagai kapten industri tunggal untuk menyelaras usaha kepada keseluruhan sistem pengangkutan awam.

"Ini yang kurang sekarang dengan 12 kementerian dan pelbagai agensi terlibat dalam aspek pengangkutan awam yang berbeza-beza," katanya.

Ong berkata, kapasiti perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang kini telah tepu terutama bagi perkhidmatan rel (KTM Komuter, RapidKL, LRT dan Monorel).

Oleh yang demikian perlu diwujudkan ruang yang lebih luas untuk menarik tambahan seramai 360,000 orang di Lembah Klang untuk menggunakan pengangkutan awam daripada menggunakan kenderaan persendirian, katanya.

"Berdasarkan analisis kita, daripada angka 360,000 ini, 58 peratus atau 207,000 orang akan menggunakan perkhidmatan rel dan 42 peratus atau 153,000 orang menerusi bas.

"Jumlah terbesar adalah melalui rel di mana komuter KTM menyumbang 95,000 penumpang, laluan LRT Kelana Jaya seramai 62,000 dan laluan LRT Ampang LRT dengan 33,000 penumpang.

"Bagi meningkatkan kapasiti kepda sistem sedia ada yang sudah penuh hadnya, kapasiti Komuter KTM dan laluan LRT akan ditingkat dari 1.7 kali ganda hingga empat kali ganda bergantung kepada keperluan laluan tertentu," katanya.

Menurut Ong, perkhidmatan tren empat gerabak bagi laluan LRT Kelana Jaya akan diperkenalkan bulan ini dalam usaha meningkatkan perkhidmatan tren dua gerabak sedia ada dan sekaigus menambah kapasiti untuk membawa lebih penumpang.

"Dengan ini, kita berharap akan mengurangkan masa menunggu kepada 2.5 minit daripada 3 minit dengan adanya perkhidmatan dua gerabak dan empat gerabak

"Dengan ini juga, kita berharap untuk dapat melipat ganda kapasiti sehingga kepada 98,000 penumpang di waktu sibuk di sebelah pagi daripada 34,000 orang sekarang," katanya.

Beliau berkata, KTM Berhad juga teLah membeli lima set tren elektrik (ETS) untuk perkhidmatan antara Ipoh-KL-Seremban menjelang April tahun depan.

"Namun semasa waktu puncak, sesetengah ETS ini akan digunakan untuk perkhidmatan Komuter KTM. Satu unit telah pun sampai dan yang lain dijangka tiba sebelum April," katanya.

Menurut beliau, perkhidmatan Bas Transit Lebuhraya (BET) di empat koridor di Lembah Klang akan dilancarkan pada suku pertama tahun depan.

Empat koridor tersebut mewakili empat lebuh raya yang kurang digunakan di mana pengguna akan menikmati pengurangan sebanyak 55 peratus purata masa perjalanan dari satu poin ke poin yang lain.

Sementara itu katanya, laluan khas untuk bas yang meliputi 12 koridor utama di Lembah Klang akan turut diperkenalkan.

Koridor ini secara keseluruhan akan menampung antara 35,000 hingga 50,000 penumpang di waktu puncak di sebelah pagi atau antara enam hingga sembilan peratus daripada jumah keseluruhan pengguna kenderaan awam menjelang 2012.

"Jumlah flet bas sedia ada juga akan ditambah hingga kepada 850 bas iaitu hampir berganda dengan jumlah bas yang yang dikendalikan RapidKL ketika ini. Ini akan meningkatkan perkhidmatan di laluan sedia ada dan menyediakan perkhidmatan di 53 laluan baru yang belum mempunyai perkdimatan," katanya.

Bagi menarik orag ramai beralih menggunakan pengangkutan awam, beliau berkata inisiatif utama akan memperkenalkan sistem tiket bersepadu dan struktur tambang di bawah konsep "1Ticket, 1Seamless Journey" meliputi semua 16 operator di Lembah Klang.

"Selain itu 6,800 tempat baru meletak kenderaan di 14 stesen rel di luar kawasan bandar raya akan ditambah selain meningkatkan perkhidmatan feeder kestesen rel serta meningkatkan stesen dan terminal yang sesak," katanya.

Bagi mengurangkan jumlah kenderaan di kawasan pusat perniagaan (CBD), tiga terminal pengangkutan utama di pinggir bandar raya seperti Bandar Tasik Selatan (selatan), Gombak (timur) and Sungai Buloh (utara) akan diwujudkan.

Terminal di Bandar Tasik Selatan sedang dibina sementara di Gombak dijangka siap menjelang akhir 2010. Terminal di Sungai Buloh yang akan menampung bas ekspres ke utara selepas 2012.

Terminal di selatan dan timur akan mengalih 750 bas dari selatan dan pantai timur Semenanjung daripada psuat bandar raya setiap hari.

Di dalam pusat bandar raya, Ong berkata, akan terdapat dua jenis hab pengangkutan awam-hab terminal antara bandar raya di Pasarama Kota, Plaza Rakyat dan Pudu untuk menampung laluan trafik dari pinggir ke dalam badar raya dan 14 Hentian Akhir Bandar bagi menampung pergerakan penumpang dan kenderaan pengangkutan awam di sekitar pusat bandaraya bagi mengurangkan kesesakan.

Ong juga berkata, bagi menguruskan permintaan menerusi strategi tolakan, inisiatif agresif akan diperkenalkan untuk meningkatkan unsur tolakan agar pengguna menggunakan pengangkutan awam berbanding kenderaan sendiri.

"Inisiatif ini akan mengambil masa untuk membuah hasil tetapi dalam jangka pendek, orang ramai boleh menjangkakan beberapa perubahan berikutan inisiatif yang telah diperkenal dan bakal diperkenalkan," katanya.

Antaranya ialah seperti menghubungkan laluan bas RapidKL yang dilancarkan pada Oktober lalu dan mengurangkan masa menunggu perkhidmatan komuter KTM kepada 15 minit berbanding 20 minit dengan memperbanyakkan jumlah gerabak mulai bulan lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain