suria

Kerajaan Komited Tingkat Taraf Hidup Rakyat Melalui NKRA

KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) komited untuk meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan tegar di Malaysia.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kerajaan telah mensasarkan untuk mengurangkan kadar kemiskinan tegar kepada 2.8 peratus menjelang tahun 2010 dan dua peratus pada 2012 daripada 3.8 peratus kini.

"Kita di kementerian tidak mahu tengok orang miskin lagi di Malaysia Terdapat banyak peluang pekerjaan di negara kita. Rakyat perlu menggunakan peluang ini sepenuhnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri hari terbuka Program Transformasi Kerajaan (GTP) di Pusat Konvensyen Sunway, hari ini.

Hari terbuka GTP telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon yang bertanggungjawab mengenai Perpaduan Nasional dan Pengurusan Prestasi.

Shahrizat berkata, bagi meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, kementerian itu akan melaksanakan bayaran bantuan kebajikan pada setiap satu haribulan mulai Januari tahun depan.

Katanya, kementerian itu juga berhasrat untuk meningkatkan jumlah usahawan wanita kepada 4,000 menjelang 2012 di bawah program Sahabat Amanah Ikhtiar.

Melalui Khidmat Pembangunan Sosial (SDS), katanya, kerajaan akan menyalurkan bantuan untuk mengelakkan golongan miskin dan mudah miskin daripada jatuh ke bawah garis kemiskinan.

Katanya, matlamat SDS adalah untuk mencapai pendapatan isi rumah secara keseluruhan kepada pengagihan secara berkesan.

Oleh itu, Shahrizat mengalu-alukan rakyat untuk menggunakan hari terbuka ini sebagai peluang untuk memberi pendapat atau pandangan bagi menjayakan hasrat kerajaan dalam mengurangkan kemiskinan tegar di negara ini.

"Kerajaan akan memberi perhatian yang serius terhadap pandangan dan pendapat yang dilontar oleh rakyat," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain