suria

Gantung Sementara Lesen Jurutera Dan Syarikat Pembekal LPG, Kata Ali Rustam

MELAKA: Kerajaan Melaka meminta supaya penggantungan sementara lesen dikenakan terhadap jurutera dan syarikat pemasangan serta pembekalan paip gas asli cecair (LPG) yang dilaporkan antara punca kejadian letupan di pusat beli-belah di Aeon Jusco di sini tiga hari lepas.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata beliau tidak mahu tuduh menuduh antara pihak terbabit dengan pihak berkuasa dalam hal itu kerana jelas telah berlaku kecuaian prosedur operasi piawaian (SOP).

"Sebagai tindakan segera, kedua-dua lesen (jurutera dan syarikat) pemasangan gas ditahan sementara daripada beroperasi," katanya kepada pemberita selepas menziarahi mangsa letupan itu di Hospital Melaka di sini semalam.

Beliau yang baru kembali dari lawatan kerja ke Bali, Indonesia sejak Isnin lepas telah mengunjungi lima mangsa yang dirawat hospital itu termasuk dua yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Mohd Ali berkata beliau difahamkan kerja-kerja untuk mengosongkan gas kini dijalankan pada tangki gas utama yang disambungkan kepada paip ke ruang dapur memasak.

"Pihak berwajib perlu mengeluarkan semua gas yang dikhuatiri terperangkap di ruang medan selera itu sebelum mereka boleh meneruskan kerja-kerja pembersihan dan memasang semula gas," katanya.

Dalam insiden Isnin lepas, seorang maut manakala 20 cedera termasuk empat parah di pusat beli-belah terbaru di Melaka yang berharga RM500 juta yang dijadualkan dibuka hari ini.

Mohd Ali juga meminta pihak pengurusan pusat beli-belah itu supaya tidak tergesa-gesa untuk melakukan pembukaan rasmi gedung itu yang dijadualkan semula pada Isnin ini.

"Mereka sepatutnya selesaikan semua masalah berhubung insiden letupan itu daripada mengejar masa untuk pembukaan rasmi," katanya.

Beliau berkata sedikit sebanyak keyakinan para pengunjung ke pusat beli-belah itu telah terjejas yang bimbang aspek keselamatan mereka dan oleh itu wajar perkara itu diatasi terlebih dahulu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain