suria

Cadangan Wujudkan Akta Parti Politik Bagi Bendung Rasuah

PETALING JAYA: Kerajaan dicadang mewujudkan Akta Parti Politik bagi membendung gejala rasuah di kalangan anggota politik di negara ini.

Ketua Makmal Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi memerangi rasuah, Datuk Hisham Nordin berkata, akta itu perlu dilaksanakan bagi mengelak perbuatan tidak bermoral itu daripada terus berleluasa. "Misalnya, dalam mana-mana pilihan raya, calon ikut apa yang diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), contohnya memperuntukkan RM100,000 untuk bertanding dalam satu-satu pilihan raya.

"Bagaimanapun, kita lihat banyak perbelanjaan dikeluarkan untuk membeli kemeja t dan kain rentang semasa pilihan raya itu berlangsung. Ini kerana wang berkenaan, bukan datang daripada calon itu sendiri tetapi datang daripada pihak-pihak tertentu demi menjaga kepentingan masing-masing," katanya.

Beliau berkata, demikian ketika membentangkan hasil makmal NKRA memerangi rasuah pada Hari Terbuka Program Transformasi Kerajaan (GTP) di Pusat Konvensyen Sunway di sini hari ini.

Hisham yang juga Pegawai Khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, perkara itu jelas sekali melanggar peraturan yang ditetapkan SPR.

Beliau berkata, akta itu juga perlu dilaksana bagi mengekang istilah penggunaan 'dana politik' secara berleluasa yang tidak kena pada tempatnya.

"Sebenarnya istilah 'political fund' (dana politik) digunakan untuk menjaga kebajikan parti tetapi dana berkenaan akhirnya masuk ke poket sendiri," katanya.

Hisham berkata, makmal itu turut mencadangkan beberapa inisiatif lain dalam memerangi rasuah sehingga ke peringkat akar umbi, antaranya mendedahkan butir-butir perolehan kerajaan dan kontrak penswastaan serta menyelesaikan perbicaraan kes rasuah dalam tempoh setahun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain