suria

Tiga Pelajar Polisas Mati Lemas Ketika Berkelah

KUANTAN: Kegembiraan lima sahabat melakukan aktiviti berkelah bertukar tragedi apabila tiga daripada mereka ditemui mati lemas di kawasan Air Terjun Pandan, Panching dekat sini, semalam.

Mangsa dikenali sebagai T.Vinod Kumar dari Pekan; P.Gunalan dari Bentong; dan S. Maten dari Mentakab. Kesemua mereka yang berusia 19 tahun merupakan pelajar tahun dua Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas) di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supritendan Zulkifli Taha berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, itu, kelima-lima mereka dipercayai pergi ke kawasan perkelahan itu untuk mandi. Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa turun ke dalam air terlebih dahulu secara berpegangan tangan disusuli dua lagi rakan mereka.

"Tiba-tiba tiga daripada mereka ini tenggelam dan lemas sementara dua lagi rakan mereka sempat menyelamatkan diri," katanya kepada pemberita di sini. Katanya, mayat Gunalan dan Maten dibawa keluar oleh orang ramai antara jam 4.30 dan 5 petang.

Beliau berkata, polis kemudian melakukan gerakan mencari dan menyelamat mangsa ketiga, Vinod Kumar yang gagal ditemui oleh orang ramai berikutan keadaan hujan lebat.

"Operasi tersebut dihentikan selepas mangsa terakhir ditemui tidak jauh dari kawasan dia lemas pada 7.05 malam," katanya.

Sementara itu, seorang saksi, Mohd Yusoff Jihad, 41, berkata semasa kejadian, dia sedang mengganti pakaian di sebuah pondok berhadapan dengan kawasan mangsa tenggelam setelah selesai mandi.

"Kemudian saya dengar riuhrendah, saya ingatkan mereka hanya bergurau sesama mereka tetapi keadaan menjadi semakin kecoh selepas mereka menjerit meminta tolong," katanya.

Katanya, dia kemudian terjun untuk menyelamatkan mangsa namun hanya berjaya membawa naik mayat pelajar terbabit.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditemui Mati Dibunuh

Artikel Berikut

Artikel Lain