suria

Kerajaan Umum Skim Kawalan Harga Sempena Krismas Berkuat Kuasa Rabu Depan

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan buat pertama kali melaksanakan skim kawalan harga barang sempena perayaan Krismas yang bakal disambut Jumaat depan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan tersebut sejajar dengan semangat 1Malaysia yang diterapkan Perdana Menteri selama lima hari bermula 23 hingga 27 Disember ini.

"Dengan semangat 1Malaysia, buat pertama kalinya kementerian akan mengadakan skim kawalan harga pada musim perayaan Krismas.

"Selama ini tidak pernah kita kawal waktu perayaan Krismas," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ismail berkata, sebanyak 13 jenis barangan diletakkan di bawah skim tersebut.

"Sebanyak 13 jenis barang harga terkawal yang terlibat dan antaranya dua barang baru iaitu ayam belanda import dan cili benggala hijau dikenal pasti sebagai barang keperluan perayaan Krismas," katanya.

Selain itu ialah ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersihkan beserta kaki, kepala, hati dan hempedal), ayam super, daging lembu tempatan, daging kambing tempatan bertulang serta daging kambing biri-biri import bertulang.

Barangan lain ialah telur ayam (gred A, B dan C) serta tomato.

Menurut Ismail lagi, penetapan harga maksimum borong dan runcit tersebut dibuat bagi 138 kawasan serta daerah di seluruh negara.

Oleh itu menurutnya peniaga barang-barang harga terkawal dikehendaki memiliki lesen khas yang boleh didapati secara percuma di pejabat kementerian seluruh negara.

"Setakat ini sebanyak 33,924 lesen telah dikeluarkan di seluruh negara untuk musim perayaan kali ini," katanya.

Ismail juga mengingatkan kepada para peniaga supaya mematuhi harga siling bagi barangan harga terkawal.

"Peniaga-peniaga diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini," katanya.

Bagi peniaga yang menjual barangan melebihi harga maksimum, tidak meletakkan dan mempamer tanda harga khas merah jambu, mereka akan dikenakan penalti serta-merta di bawah Seksyen 22 Akta Kawalan Harga 1946.

Bagi peniaga perseorangan yang didapati bersalah akan dikenakan denda RM15,000 atau dua tahun penjara bagi kesalahan pertama dan denda RM25,000 atau lima tahun penjara bagi kesalahan kedua, manakala bagi syarikat akan dikenakan denda sebanyak RM25,000 bagi kesalahan pertama dan RM50,000 bagi kesalahan kedua.

Pengguna juga boleh mengemukakan aduan kepada kementeriannya melalui [email protected], menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada 32255, atau menggunakan talian bebas tol 1-800-886-800 ataupun ke mana-mana pejabat PDNKK.

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditemui Mati Dibunuh

Artikel Berikut

Artikel Lain