suria

Perlis Bentang Bajet Untuk Rakyat

KANGAR: Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu hari ini membentang bajet Perlis bagi 2010 yang disifatkannya sebagai bajet semua golongan masyarakat yang sejajar dengan gagasan 1Malaysia.

Katanya, bajet yang meningkat sebanyak 0.7 peratus kepada RM198.41 juta berbanding RM197 juta sebelum ini, memberi jaminan bahawa rakyat akan didahulukan dan pencapaian diutamakan.

Ketika membentangkan bajet itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini, beliau berkata, sebanyak RM142.7 juta adalah untuk perbelanjaan mengurus dan RM55.71 bagi perbelanjaan pembangunan.

Menurutnya, bajet yang dibentangkan hari ini turut menyaksikan Perlis mengalami defisit RM75.6 juta tahun depan memandangkan anggaran pendapatan negeri adalah hanya RM67.1 juta.

"Bajet 2010 bermatlamatkan untuk meningkatkan taraf hidup dan kesejahteran rakyat sebagai agenda utama pembangunan. Sebarang dasar yang dirancang tidak akan dicapai tanpa sokongan padu dari segenap lapisan rakyat," katanya.

Md Isa di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional, tidak seorang pun di kalangan rakyat negeri ini akan tercicir daripada faedah belanjawan yang dibentangkan.

Katanya kerajaan negeri juga berjaya mngurangkan kadar kemiskinan tegar daripada 1.7 peratus pada tahun 2004 kepada 1.4 peratus pada 2008.

Kerajaan juga meningkatkan kemudahan perumahan untuk rakyat miskin dengan pembinaan 480 unit rumah di bawah projek perumahan rakyat dan 1,191 unit rumah kos rendah.

Mengenai setinggan, Md Isa berkata, terdapat 2,221 keluarga setinggan di Perlis dan penempatan semula untuk mereka akan diwujudkan bagi mencapai sasaran setinggan sifar menjelang 2015. Dewan akan bersidang sehingga Khamis ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain