suria

Kerajaan Tidak Cadang Kaji Semula Kekebalan Pegawai SPRM

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk mengkaji semula peruntukan kekebalan terhadap pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana ia bukan mutlak dan mempunyai syarat yang khusus, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Sekyen 72 Akta SPRM 2009 memperuntukkan kekebalan dari sebarang tindakan guaman, pendakwaan atau apa-apa jua prosiding yang boleh diambil terhadap pegawai SPRM dalam mana-mana mahkamah atau di hadapan mana-mana pihak berkuasa.

"Kekebalan itu terpakai dengan syarat perbuatan atau pernyataan itu dilakukan atau dibuat, atau ditinggalkan daripada dilakukan atau dibuat, dengan suci hati," katanya semasa menjawab soalan Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang) di sini.

"Namun begitu, kekebalan itu tidak terpakai sekiranya dapat dibuktikan wujud perbuatan jenayah, 'mala fide' atau niat jahat oleh pegawai SPRM dalam melaksanakan tanggungjawab di bawah Akta SPRM 2009," tambahnya.

Tengku Razaleigh dalam soalannya ingin tahu kemungkinan kerajaan akan mengkaji semula pemberian kuasa yang luas termasuk perlindungan atau imuniti dari dakwaan yang dinikmati badan berkenaan.

Menjawab soalan tambahan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang mendakwa pegawai SPRM hanya mengambil tindakan ke atas pemimpin parti politik pembangkang, Mohamed Nazri berkata, ia adalah tidak benar sama sekali.

"Kalau dilihat kepada laporan akhbar baru-baru ini, daripada tujuh orang yang diambil tindakan oleh SPRM dan dibawa ke mahkamah, enam daripadanya sama ada secara langsung atau tidak langsung ada kaitan dengan Umno, satu saja daripada DAP.

"Jadi tak betullah dakwaan SPRM hanya ambil tindakan terhadap pemimpin pembangkang," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain