suria

Guru Dilepas Dan Bebas Daripada Rasuah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini melepas dan membebaskan seorang penolong kanan sekolah rendah di Raub, Pahang, terhadap pertuduhan memberi rasuah dalam bentuk wang semasa pemilihan Umno Bahagian Raub.

Hakim Rosbiahanin Ariffin membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Junaidi Abdul Hamid.

"Mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikkan kes prima facie dan dengan ini mahkamah melepaskan dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan ini," katanya.

Junaidi, 46, yang diwakili Aishaton Abu Bakar, didakwa memberi suapan berbentuk wang tunai kepada seorang anggota Umno, Adnan Samad sebanyak RM200 sebagai dorongan untuk mengundi Datuk Mustafar Kamal Abdul Hamid sebagai ketua Umno bahagian Raub dan Datuk Abdullah Bakar sebagai Timbalan Ketua Umno bahagian Raub.

Menurut kertas pertuduhan dia melakukan kedua-dua kesalahan itu di Coffee House, Tingkat 1, Hotel Grand Season, Kuala Lumpur, pada 8 malam, 13 Sept 2008, mengikut Seksyen 10 (b) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Sepanjang prosiding itu, pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Syafinas Shabudin, mengemukakan empat saksi pendakwaan.

Junaidi yang ditemui di luar mahkamah, berkata beliau bersyukur dan berterima kasih kepada anggota keluarga, peguam dan rakan-rakan yang memberi sokongan sehingga kesnya selesai.

"Saya bersyukur segalanya telah selesai kerana sepanjang kes dibicarakan, kenaikan gaji atau pangkat saya ditangguhkan sehingga selesai walaupun jawatan saya tidak digantung," katanya sambil tersenyum.

Pertuduhan itu merupakan kes pertama melibatkan "politik wang" sejak penubuhan SPRM. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain