suria

Pendekatan Dakwah Dr Asri Satu Cabaran Besar - Pengarah Jurey

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Latiff Rosli menganggap cara pendekatan dakwah bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin di pusat hiburan sebagai satu cabaran yang besar.

"Satu cabaran yang besar bagi Dr Asri mencari orang Islam untuk dibawa semula ke pangkuan ajaran agama yang berlandaskan tuntutan agama," kata pengarah filem itu ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas hasrat murni Mohd Asri untuk 'turun padang' menyebarkan dakwah di pusat-pusat hiburan bagi menyedarkan golongan muda yang hanyut dengan nafsu dunia.

Menurut Jurey, antara tempat yang perlu didahulukan bagi penyebaran dakwah adalah pusat membeli-belah dan tempat 'lepak' seperti Starbucks dan Kopitiam kerana tempat-tempat tersebut agak terbuka.

"Buat permulaan, Dr Asri boleh memulakan dakwahnya di tempat-tempat agak terbuka seperti itu kerana tempat-tempat itu juga dipenuhi ramai pengunjung Islam berbanding dengan disko dan pusat karaoke yang agak susah sedikit," kata Jurey, penerbit filem Web Evolution Brain (M) Sdn Bhd yang pernha menerbitkan filem 'Paloh'.

Tambah Jurey, yang kini sibuk mengarah dan menerbit filem Libas, pendekatan yang ingin dibuat oleh Mohd Asri, agak berbeza kerana tidak pernah dilakukan oleh sesiapa.

"Masyarakat sekarang terlalu sibuk dengan tugasan masing-masing sehinggakan tiada masa untuk mendengar kuliah di masjid dan surau.

"Belum ada sesiapa lagi yang membuat ceramah di tempat hiburan," kata Jurey mengakhiri perbualan.

Artikel Berikut

Artikel Lain