suria

Polis Tangkap Anak Lelaki Pasangan Yang Ditahan Siasatan Kes Bunuh

JOHOR BAHARU:Polis menangkap anak lelaki pasangan suami isteri yang ditahan Khamis lepas bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang kontraktor dan pengurus sebuah syarikat pembinaan di Jalan Tebing Runtuh dalam satu rompakan di sini Rabu lepas.

Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul 9 malam semalam di Nusajaya bagi membantu siasatan.

Ini menjadikan jumlah mereka yang ditahan berhubung kes itu empat orang. Seorang lagi yang ditahan ialah wanita berumur 22 tahun.

"Kami amat yakin penahanannya akan memberi gambaran lebih jelas tentang kes ini," kata ketua polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata bapa lelaki itu yang berusia 55 tahun, juga seorang kontraktor. Dalam kejadian Rabu lepas kontraktor B. Saravanam, 39, dan R. Vesvanathan, 43, pengurus sebuah syarikat pembinan jalan raya di Nusajaya, ditembak mati dalam kejadian rompakan pada pukul 3.30 petang selepas mereka mengeluarkan wang bagi membayar gaji dari sebuah bank.

Bagaimanapun, polis tidak menyatakan jumlah wang yang dirompak.

Mokhtar meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu supaya menghubungi polis Johor dengan menelefon 072212999 atau menghubungi balai polis terdekat.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain