suria

Larangan Penjualan Rokok Bawah 20 Batang Untungkan Syarikat Pengeluar Rokok

PETALING JAYA: Tindakan kerajaan melarang penjualan rokok bawah 20 batang 1 Jun tahun hadapan hanya akan menguntungkan syarikat pengeluar rokok.

Pandangan ini disuarakan oleh Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Maamor Osman ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Ditanya mengenai pendirian PPIM berhubung isu ini, Maamor berkata PPIM menyokong penuh tindakan kerajaan itu kerana dari sudut kepenggunaan ianya membawa kebaikan kepada rakyat.

Tambah beliau, isu rokok bukan hanya melibatkan masalah kesihatan, malah faktor ekonomi dan sosial.

"Saya juga ingin menyarankan tindakan undang-undang yang lebih tegas dikenakan terhadap pengeluar kerana hukuman yang dikenakan tidak setimpal," kata Maamor ketika memberi reaksi kepada pengumuman Menteri Kesihatan baru-baru ini di mana denda RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun akan dikenakan bagi yang mengingkari peraturan.

Beliau berpendapat, pelaksanaan hukuman mandatori harus dikenakan kepada yang masih berdegil dengan arahan kerajaan.

Bagi Setiausaha Agung PPIM ini, kemelut mengenai rokok ini adalah sukar dibenteras kerana sukar bagi perokok untuk berhenti dari tabiat mereka.

Maamor juga berharap kerajaan tidak akan membebankan Kementerian Kesihatan menangani masalah ini malah menyarankan semua pihak agar bekerjasama dalam memastikan isu ini dapat diatasi dengan jaya.

"Bukan sahaja Kementerian Kesihatan yang perlu uruskan perkara ini, kita semua bertanggungjawab dalam memastikan dilema ini dapat diatasi," katanya.

Beliau turut berkongsi beberapa pendekatan yang boleh digunakan bagi mengatasi masalah rokok di negara ini.

"Pencegahan adalah lebih baik dari mengubati, jadi faktor itu patut disemai dalam diri kita untuk menjauhi rokok. Ibu bapa juga harus menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka," katanya.

Beliau juga mencadangkan institusi keagamaan seperti masjid dijadikan tapak untuk anak-anak muda beriadah dengan pelbagai aktiviti sekaligus dapat membanteras masalah tabiat merokok di kalangan remaja.

Dalam nada tegas, Maamor berharap pemerhatian menyeluruh dari pihak berkuasa di kedai-kedai runcit dipergiat kerana bimbang masalah penjualan rokok secara berasingan akan berleluasa selepas ini.

Pemantauan berterusan terhadap aktiviti anak-anak juga dapat membantu. Ini kerana walaupun rokok bawah 20 batang tidak akan dijual, penularan penjualan rokok secara berasingan akan lebih berleluasa.

"Oleh kerana itu saya menyatakan pendekatan menyeluruh perlu diambil untuk mengatasi masalah ini," katanya.

Maamor bimbang masalah ini tidak akan ada kesudahan. Beliau berharap pemantauan berterusan dapat membantu meminimumkan perkara ini.

Pada Isnin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan larangan tersebut bagi mengelakkan kanak-kanak dan remaja memulakan tabiat merokok.

Artikel Lain