suria

Remaja Maut Dalam Kemalangan Jalan Raya

KANGAR: Seorang remaja terbunuh manakala dua lagi rakannya parah apabila dua buah motosikal yang mereka naiki dirempuh oleh sebuah kereta dari arah belakang di Jalan Kangar-Alor Setar berhampiran Kampung Seriab, dekat sini, hari ini.

Dalam kemalangan pukul 3.15 petang itu, mangsa Saiful Mat Ros, 17, dari Sungai Padang dekat sini, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pegawai Turus Trafik Perlis, ASP Rosli Yahya berkata, mangsa bersama dua lagi rakannya sedang dalam perjalanan menghala ke bandar Kangar apabila dirempuh oleh sebuah kereta yang dinaiki oleh tiga orang.

Katanya selepas merempuh motosikal itu, pemandu kereta tersebut gagal mengawal kenderaan lalu merempuh sebatang pokok di tepi jalan lalu terbakar.

Katanya dua rakan mangsa, Nor Mohd Hanif Hussein, 17, yang membonceng motosikal yang ditunggangi Saiful serta Mohd Soqimie Md Daudun, 17, yang menunggang sebuah lagi motosikal mengalami cedera parah.

Bagaimanapun, tiga orang dalam kereta tersebut dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan dan identiti mereka masih belum dikenal pasti. BERNAMA

Artikel Lain